Anda di sini

Lelaki Cina bawa kavadi curi tumpuan

Advertisement
 Seorang lelaki berbangsa Cina Andrew Chong, 51, membawa kavadi mencuri tumpuan penganut Hindu dan pelancong ketika perayaan Thaipusam di pekarangan Kuil Arul Subramaniar di Gunung Cheruh dekat Ipoh, semalam. — Gambar Bernama
MEMBAYAR NAZAR: Seorang lelaki berbangsa Cina Andrew Chong, 51, membawa kavadi mencuri tumpuan penganut Hindu dan pelancong ketika perayaan Thaipusam di pekarangan Kuil Arul Subramaniar di Gunung Cheruh dekat Ipoh, semalam. — Gambar Bernama

IPOH: Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di sini semalam mencuri tumpuan penganut Hindu serta pelancong apabila seorang lelaki berbangsa Cina dilihat membawa kavadi ke kuil tersebut.

Andrew Chong, 51, membawa kavadi manakala anak lelakinya Danial Chong, 20, membawa susu dalam tembikar aluminium.

Menurut Jessica Lau, 51, dari Bercham, beliau serta anggota keluarga yang lain hadir bagi memberi sokongan kepada suami dan anaknya yang membayar nazar kepada Dewa Murugan.

“Saya beragama Budha tetapi suami beragama Hindu. Ini bukan kali pertama dia mengangkat kavadi tetapi sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kuil itu semalam.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan akan memberi sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Kuil Sri Subramaniar.

“Kita sentiasa memberi bantuan dan sumbangan kepada pelbagai kuil di negeri ini melalui Hal Ehwal Bukan Islam dan satu peruntukan yang terbesar telah saya umumkan dalam belanjawan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan beramah mesra dengan penganut agama Hindu yang menyambut perayaan Thaipusam di kuil berkenaan.

Turut hadir Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar; Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran; dan barisan Exco Kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, SAC Mohamad Laham berkata seramai 780 pegawai dan anggota polis ditugaskan di sekitar lokasi kuil bagi menjaga keselamatan awam sepanjang tiga hari sambutan perayaan itu.

“Penugasan polis bermula pada jam 5 pagi semalam (kelmarin) dan dijangka berakhir pada jam 12 tengah hari esok (hari ini).

“Setakat ini keadaan terkawal dan kita akan memastikan tiada ancaman mahupun kegiatan jenayah berlaku ketika penganut agama Hindu melakukan upacara sembahyang di kuil berkenaan,” katanya. — Bernama

Advertisement