Anda di sini

Laksana tugas dengan baik, patuhi KPI

Advertisement
STEPHEN (duduk, tengah), Janet (duduk, lima dari kiri), Mujin (empat dari kanan) dan Natalie (tiga dari kanan) bersama para pegawai kanan KKKRS serta JPKAS.
STEPHEN (duduk, tengah), Janet (duduk, lima dari kiri), Mujin (empat dari kanan) dan Natalie (tiga dari kanan) bersama para pegawai kanan KKKRS serta JPKAS.

KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong Tien Fatt mengingatkan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) yang baru dilantik agar melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya, dan memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) dipatuhi.

Beliau berkata, dalam kerajaan negeri baharu, faktor yang paling penting ialah integriti, prestasi kerja yang cemerlang, komitmen yang tinggi di tempat kerja, tidak rasuah, proaktif dan berbelas kasihan kepada orang miskin.

"Oleh itu, pada masa kini, ada keperluannya untuk menyusun semula pentadbiran JPKAS selaras dengan aspirasi kerajaan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penyerahan surat pelantikan pengarah dan timbalan pengarah JPKAS di Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, di sini hari ini.

Di majlis itu, Mujin Durin yang dilantik sebagai pengarah JPKAS dan Natalie Gaban dinaikkan pangkat sebagai timbalan pengarah JPKAS menerima surat pelantikan masing-masing daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Janet Chee.

Stephen berkata, pengarah dan timbalan pengarah yang baru dilantik bertanggungjawab untuk mengkaji semula sistem penyampaian di peringkat daerah, menghapuskan sistem yang ketinggalan zaman dan memperkenalkan perkhidmatan e @ kebajikan secara berkesan.

"Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) juga wajar mengkaji semula semua latihan di institusi OKU agar latihan-latihan yang dibekalkan lebih relevan dengan keperluan semasa, dan bekerjasama rapat dengan NGO serta sektor swasta," katanya.

Di samping itu, katanya, JPKA juga harus memperkenalkan perkhidmatan mesra yang baharu, seperti bekerjasama dengan sekolah, NGO tempatan mahupun antarabangsa, serta dengan sektor swasta melalui program CSR, seterusnya mengkaji semula dan melantik orang yang relevan sebagai Ahli Lembaga Pelawat.

Beliau berkata, pengarah dan semua ketua bahagian juga harus mengkaji dan menyemak semula kemudahan di rumah kanak-kanak serta bekerjasama dengan NGO untuk mengadakan kelas tuisyen bagi kanak-kanak.

Katanya, JPKA juga harus memandang serius terhadap projek-projek kebajikan yang telah tertunda dan 'sakit'. Sebagai contoh, Pusat Kanak-Kanak Mini Tawau yang telah ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau berharap di bawah pimpinan pengarah dan timbalan pengarah yang baharu, imej JPKA dapat ditingkatkan menjadi sebuah jabatan yang prihatin dan cekap.

"Semua pegawai kebajikan harus dilatih semula agar mengamalkan sikap yang betul dan mendapat pendedahan serta kemahiran latihan yang sewajarnya," katanya.

Katanya, selain menjaga kebajikan rakyat, kebajikan staf di ibu pejabat dan semua pejabat bahagian/daerah juga harus dijaga.

Stephen juga menasihati pengarah dan semua warga JPKA agar rajin turun padang untuk memantau pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.

Beliau berkata, pengarah dan semua pegawai kebajikan juga bertanggungjawab memastikan perkhidmatan sampai kepada golongan sasar serta memastikan pengagihan bantuan dijalankan dengan kemas dan teratur untuk mengelakkan aduan daripada penerima, orang awam dan pihak yang lain.

"Adalah diharapkan seluruh warga JPKAS memberi kerjasama yang optimum dan sokongan yang sepenuhnya kepada Mujin dan Natalie, dalam meneruskan kesinambungan tugas dan meningkatkan usaha ke arah perkhidmatan yang lebih cemerlang secara keseluruhannya," katanya.

  • oleh
  • Advertisement