Anda di sini

Kenderaan terjunam, lima sekeluarga nyaris maut

Advertisement
 Kenderaan dinaiki mangsa terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter.
TERBALIK: Kenderaan dinaiki mangsa terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter.

BINTULU: Lima sekeluarga nyaris maut setelah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke dalam gaung sedalam tujuh meter dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri sekitar jam 2.15 petang semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu ketika dihubungi mengesahkan semasa kejadian kenderaan dipandu seorang wanita berumur 54 tahun dalam perjalanan dari Miri ke Bintulu.

Katanya, sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja menyelamat mangsa.

“Setelah sampai di lokasi kejadian, kami mendapati terdapat sebuah kenderaan terjatuh ke dalam gaung tepi jalan berada dalam keadaan terbalik,“ katanya.

Menurutnya, bomba menggunakan alat pengusung khas bagi membantu mengeluarkan semua mangsa dari gaung terbabit.

Difahamkan, sebelum ketibaan bomba, semua mangsa berjaya keluar dari kenderaan mereka.

“Anggota kami mengambil masa hampir setengah jam mengeluarkan semua mangsa dari gaung dan operasi mengeluarkan mangsa tamat kira-kira jam 2.45 petang,” jelasnya.

Semua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Advertisement