Anda di sini

Kanak-kanak selamat selepas 10 jam dilarikan

Advertisement
 

SARIKEI: Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun berhadapan dengan situasi mencemaskan, apabila dilarikan oleh bapa kandungnya sendiri yang dipercayai mengalami masalah mental, petang Isnin.

Pengalaman mendebarkan itu berakhir dalam tempoh lebih 10 jam apabila lelaki, 27 tahun, membawa anak perempuannya pulang ke rumah di Kampung Sungai Petai, Skim B, dekat sini, pukul 6.55 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Awang Alfian Awang Bujang berkata, maklumat awal yang diterima mendapati lelaki terbabit yang berusia 27 tahun membawa keluar anaknya dari rumah sekitar pukul 8 malam.

"Difahamkan bapa mangsa telah membawa anaknya di kawasan perkuburan berhampiran dengan kampung terbabit.

"Namun, punca sebenar lelaki berkenaan bertindak demikian masih lagi tidak dapat dipastikan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, kanak-kanak terbabit dilaporkan keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah Awang lagi, tindakan selanjutnya terpulang kepada pihak keluarga berkenaan kerana belum ada laporan terperinci dibuat oleh keluarga terbabit setakat ini.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei bersama polis dan penduduk kampung susulan menerima panggilan kecemasan sekitar 8.24 malam Isnin.

Pencarian meliputi tiga kilometer radius di kawasan hutan berhampiran tanah perkuburan terpaksa ditangguhkan pada pukul 10.40 malam berikutan keadaan gelap serta hujan.

Operasi ditamatkan selepas mangsa bersama bapa kembali ke rumah hari ini.
 

  • oleh
  • Advertisement