Anda di sini

JSJN rampas 560 kg dadah bernilai hampir RM35 juta bulan ini

Advertisement
FUZI (tengah) semasa sidang media selepas Mesyuarat Ketua-Ketua JSJN Se-Malaysia Bil 1/2019 pada Selasa.
FUZI (tengah) semasa sidang media selepas Mesyuarat Ketua-Ketua JSJN Se-Malaysia Bil 1/2019 pada Selasa.

KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kejayaan luar biasa permulaan tahun ini apabila berjaya merampas 560 kilogram dadah pelbagai jenis dengan nilai rampasan mencecah hampir RM35 juta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata faktor pelaksanaan kejayaan oleh pasukan polis itu termasuklah keberkesanan risikan secara berterusan yang dijalankan pasukan JSJN seluruh negara selain operasi bersepadu yang dijalankan semua jabatan lain secara serentak dalam PDRM.

"Meskipun JSJN bertanggungjawab secara langsung dalam isu pembanterasan dadah, namun semua jabatan yang ada di dalam PDRM digerakkan secara bersepadu dalam melaksanakan operasi dan kerja risikan.

"Kita juga berterima kasih kepada pihak luar terutama masyarakat yang sentiasa berani tampil berkongsi maklumat setempat selain bekerjasama daripada sahabat serta agensi antarabangsa melalui pertukaran maklumat, latihan serta kemudahan pengesanan yang meningkatkan lagi rampasan dadah di negara ini," katanya.

Tambahnya ia adalah permulaan yang baik bagi tahun ini dan beliau harapkan operasi pencegahan akan dipertingkatkan lagi di bulan akan datang kerana pihaknya tidak mahu berlakunya kemasukan dadah dari luar dan menjadikan Malaysia sebagai transit dadah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas memberikan amanat dan merasmikan Mesyuarat Ketua-Ketua JSJN Se-Malaysia Bil 1/2019 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah JSJN Datuk Sri Mohmad Salleh dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Dalam pada itu, Fuzi berkata JSJN turut merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam pencegahan jenayah narkotik pada tahun lalu berbanding 2017.

"JSJN meningkatkan 10 peratus kadar tangkapan membabitkan 53,380 individu pada suku terakhir bulan lalu berbanding hanya 48,582 tangkapan bagi pelbagai kesalahan dadah dengan tempoh sama pada 2017.

"Nilai rampasan dadah juga meningkat sebanyak 231 peratus apabila anggota JSJN melaksanakan rampasan di beberapa kawasan termasuk Georgetown membabitkan RM25 juta rampasan syabu dan ekstasi, RM72.49 juta di makmal memproses erimin di Pulau Pinang dan RM33.83 juta di Perak berbanding hanya RM70.4 juta pada 2017," katanya.

Tambahnya sembilan makmal memproses dadah secara haram juga berjaya dibongkar berbanding hanya lima makmal pada 2017.

"Kita juga berjaya menyita pelbagai harta hasil aktiviti pengedaran dadah bernilai RM31.7 juta pada tahun lalu berbanding RM22 juta pada 2017 dan membanteras sindiket pengedaran dadah oleh warga asing melalui 10,022 tangkapan dan 424 orang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan kesalahan mengedar dadah," katanya.

  • oleh
  • Advertisement