Anda di sini

Guardiola tidak gembira dengan kemenangan The Citizens

Advertisement
 Sane (kri) berjaya memperdaya Lossl (kanan) sebelum menjaringkan gol ketiga City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield di Stadium John Smith, Huddersfield pada Ahad lepas. — Gambar AFP
LICIK: Sane (kri) berjaya memperdaya Lossl (kanan) sebelum menjaringkan gol ketiga City pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield di Stadium John Smith, Huddersfield pada Ahad lepas. — Gambar AFP

HUDDERSFIELD, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak begitu berpuas hati walaupun pasukannya menang 3-0 di Huddersfield Town dan menyaksikan pasukannya kembali merapatkan kedudukan di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, kepada kurang empat mata.

Kemenangan 4-3 Liverpool ke atas Crystal Palace pada perlawanan hari Sabtu mengembalikan tekanan ke atas City tetapi mereka tidak kelihatan dalam bahaya sepanjang perlawanan oleh lawan yang bergelut mengelak penyingkiran musim ini.

Gol pertama City, dari rembatan Danilo pada minit ke-18 memastikan gol ke-100 City dalam semua pertandingan musim ini sebelum Raheem Sterling menambah jaringan dari hantaran Leroy Sane pada minit ke-54 dan Sane sendiri melengkapkan jaringan dua minit kemudian.

Bagi Guardiola, ia seharusnya petang menggembirakan ketika pasukannya sekali lagi mengekalkan cabaran dengan Liverpool.

Beliau bagaimanapun membina reputasi dengan permainan menarik dan juga jaringan gol yang banyak dan berdasarkan semua itu, aksi pasukannya di Huddersfield dianggap kurang berjaya ketika mereka tidak benar-benar mengawal permainan pada hari Huddersfield memecat pengurusnya, David Wagner.

“Sepanjang musim, anda berdepan perlawanan seperti ini,” kata Guardiola. “Ia penting untuk menang. Kami menjaringkan banyak gol dalam semua pertandingan.

“Tetapi cara kami bermain, saya tidak melihatnya sebagai layak dengan lebih dari tiga gol. Kami akan memperbaiki lagi permainan di masa hadapan.

“Kami harus mendesak lebih bagus lagi dari diri kami sendiri pada setiap perlawanan tetapi kadang-kadang ia sukar.

“Hari ini kami gembira kerana menang tetapi selepas itu, kami harus menganalisa permainan kami. Sepanjang musim, anda mempunyai perlawanan di mana anda tidak bermain di tahap terbaik dan ia adalah sangat penting untuk memenangi perlawanan seperti ini.”

Walaupun penyokong City lebih gembira dengan kemenangan ini berbanding Guardiola, City sekurang-kurangnya boleh berasa gembira kerana mereka masih mengekalkan saingan dengan Liverpool.

Untuk dua minggu berturut-turut, City bermain lewat sehari berbanding Liverpool dan tekanannya sudah pasti lebih tinggi sekiranya Liverpool menang.

“Sebuah pasukan bermain dengan lebih bagus tetapi kami masih dalam bulan Januari dan ada banyak lagi perlawanan untuk diharungi,” tambah beliau.

“Anda tidak menang atau tewas kejuaraan Liga Perdana pada bulan Januari. Kami harus memberi fokus kepada apa yang harus kami lakukan. Jika Liverpool menang, kami harus menang dan jika Liverpool tewas, maka kami juga harus menang.”

Perlawanan ini adalah sangat sukar buat pengurus sementara Huddersfield, Mark Hudson dan ketika pemainnya menunjukkan semangat yang tinggi untuk memberikan sedikit harapan untuk mengelak penyingkiran musim ini, di mana mereka ketika ini 10 mata dari zon selamat.

Jika, seperti dijangkakan, jurulatih bawah 23 Tahun Borussia Dortmund, Jan Siewert akan dilantik sebagai pengganti Wagner, tiada siapa akan menyalahkannya jika beliau memulakan hari pertama membuat persediaan untuk beraksi dalam Liga Kejuaraan musim hadapan. — AFP

Advertisement