Anda di sini

Gol minit akhir Dembele berikan kemenangan berharga buat Lyon

Advertisement
 Dembele (kiri) melepasakan rembatan ketika diasak hebat oleh pemain Saint-Etienne pada perlawanan di Stadium Groupama, Lyon pada Ahad lepas. — Gambar Reuters
SUKAR DIKAWAL: Dembele (kiri) melepasakan rembatan ketika diasak hebat oleh pemain Saint-Etienne pada perlawanan di Stadium Groupama, Lyon pada Ahad lepas. — Gambar Reuters

PARIS, Perancis: Moussa Dembele menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan buat Lyon ketika menewaskan Saint Etienne 2-1 sementara Marseille menamatkan satu tempoh sembilan perlawanan tanpa menang dengan menewaskan Caen 1-0 dalam aksi Ligue 1 Perancis Ahad lepas.

Romain Hamouma membuka jaringan buat Saint Etienne pada minit ke-21 perlawanan di Stade Geoffroy Guichard tetapi Nabil Fekir mengikat kedudukan dari satu tendangan penalti dalam separuh masa kedua selepas bola terkena tangan Loic Perrin.

Dembele, yang tidak dikawal, kemudian menanduk gol kemenangan pada minit kecederaan selepas masuk sebagai pemain gantian.

“Kami melakukan tugas dengan baik,” kata jurulatih Lyon, Bruno Genesio. “Ia perlawanan berjiran yang hebat. Kedua-dua pasukan mahu menang.”

Penjaga gol Lyon, Anthony Lopes, beraksi tangkas beberapa kali untuk mengekalkan saingan, menafikan cubaan dari Wahbi Khazri sebelum menepis cubaan bola muntah dari Hamouma.

Saint Etienne sekali lagi mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan tetapi Remy Cabella gagal menembusi Lopes dan Leo Dubois juga sempat menghadang cubaan Louis Diony.

“Secara jujurnya, saya tahu bola sepak ini kejam tetapi hari ini, ia satu kekalahan teruk,” kata jurulatih Saint Etienne, Jean-Louis Gasset. “Kami memberikan segala-galanya, kedua-dua pasukan mempunyai peluang dan mungkin selayaknya satu mata.”

Pencerobohan penyokong ke dalam padang menyebabkan perlawanan berlarutan untuk satu tempoh yang lama apabila Lyon menang 5-0 musim lepas dan ketegangan muncul seketika dan hampir memuncak pada wisel penamat.

Lyon kembali memintas Saint Etienne di tangga ketiga selepas memberikan kekalahan pertama Saint Etienne di tempat sendiri musim ini.

Pada perlawanan awal, Marseille mencipta kemenangan pertama sejak lewat bulan November walaupun kehilangan pemain berpengaruh, Dimitri Payet kerana kecederaan seawal minit ke-24.

Morgan Sanson, dimasukkan menggantikan Payet, menjaringkan gol kemenangan dari umpanan Kevin Strootman, dua minit selepas rehat.

Caen bermain hampir sepanjang separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas Frederic Guilbert dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua perlawanan. — AFP

Advertisement