Anda di sini

GAPPA berpotensi dibangunkan sebagai pusat teknologi akuakultur

Advertisement
 Mohd Ismail membuka tirai sebagai simbolik perasmian GAPPA di PSS.
DIRASMI: Mohd Ismail membuka tirai sebagai simbolik perasmian GAPPA di PSS.

SANDAKAN: Galeri Akuarium dan Pusat Penyelidikan Akuakultur (GAPPA) yang dibuka oleh Politeknik Sandakan Sabah (PSS) berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat teknologi (COT) dalam bidang akuakultur.

Sehubungan itu Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Professor Dato’ Ts Dr Mohd Ismail Abd Aziz menyarankan PSS agar membuat satu kertas kerja bagi memohon dana penyelidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi merealisasikan cadangan itu.

“Kita lihat PSS ada beberapa produk yang berpotensi dan seperti saya cakapkan tadi, akuakultur adalah satu bidang yang penting bagi negara untuk bekalkan hasil makanan laut.

“Dengan pewujudan GAPPA, selepas ini PSS ada penyelidikan mengenai akuakultur dan ini dapat menyokong industri seumpama di sekitar Sandakan. Ini adalah yang pertama di sini dan akan menjadi permulaan untuk bagaimana kita boleh menambah nilai dalam bidang akuaktur termasuk melalui perniagaan ikan hiasan.

“Kita kena manfaatkan teknologi seperti Internet of Things (IOT), teknologi Cloud dan sebagainya untuk membangunkan industri akuakultur. Warga PSS perlu berusaha ke satu tahap yang lebih hebat supaya mampu bersaing dengan industri akuakultur di negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Galeri Akuarium dan Pusat Penyelidikan Akuakultur (GAPPA) Politeknik Sandakan Sabah, di sini pada Ahad.

Ketika ini, hanya dua buah Politeknik di seluruh negara yang menawarkan kursus Akuakultur iaitu Politeknik Jeli, Kelantan dan PSS.

GAPPA ditubuhkan dengan peranan untuk memberi maklumat serta input berasaskan kajian dan inovasi mengenai Teknologi Akuakultur kepada pelajar dan komuniti setempat.

Ia juga aktif menjalankan aktiviti berkaitan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang akuakultur dan bio-industri yang merangkumi teknologi hatceri; penghasilan benih dan pembesaran; remidiasi kualiti air; serta penjagaan kesihatan dan pemakanan.

GAPPA juga menawarkan khidmat nasihat dan konsultansi serta latihan dalam bidang akuakultur dan bio-industri serta mempromosi kesedaran awam berkenaan pemuliharaan alam sekitar dan kualiti air.

Sementara itu, Pengarah PSS Tajul Ariffin Mohamad Arif berharap dengan pewujudan GAPPA, pelajar boleh memberi fokus menjalankan penyelidikan di situ dan dalam masa yang sama boleh membawa industri luar ke GAPPA untuk penyelidikan secara bersama.

“Kalau dahulu kita terpaksa keluar untuk buat penyelidikan tetapi sekarang boleh bawa masuk atau bekerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan operasi penyelidikan di PSS.

“Pada masa akan datang, kita akan pertimbang untuk buka GAPPA kepada orang luar sekiranya sudah bersedia. Kita akan buka untuk lawatan akademik bagi memberi kefahaman kepada pelajar mengenai akuakultur dan menanam minat mereka untuk menyambung pelajaran dalam bidang ini kelak,” jelasnya.

Advertisement