Anda di sini

Gangguan bekalan air perlu ditangani segera

Advertisement
SHAHRI
SHAHRI

LABUAN: Naib Ketua Umno Bahagian Labuan Shahri Tarji menyuarakan kebimbangan beliau terhadap gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) atau kerajaan memandang serius masalah itu.

Beliau berkata kemungkinan penyebab masalah gangguan bekalan air itu adalah paip-paip utama yang sudah terlalu lama digunakan yang mengakibatkan selalu berlaku kebocoran.

“Paip air yang sudah terlalu lama dan usang itu perlu diganti bagi memastikan masalah gangguan bekalan air tidak berulang,” katanya.

Shahri juga memohon kepada pihak JBA mahupun pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli agar menangguhkan kenaikan tarif air di pulau ini sehingga perkhidmatan bekalan di sini berjalan lancar tanpa kerap mengalami gangguan, sepertimana yang telah disuarakan oleh Menterinya Dr Xavier Jayakumar A/L

Arulanandram, baru-baru ini, untuk mengkaji kenaikan tarif pada tahun ini.

“Saya perhatikan kebelakangan ini rakyat di Labuan yang bekerja sendiri dan pekerja swasta mengalami tekanan ekonomi, memandangkan banyak syarikat menutup operasi sehingga mengakibatkan ramai yang menganggur dan yang bekerja sendiri seperti peniaga kecil juga terkesan kerana kuasa beli di sini amat jauh berkurang,” katanya.

Tambah beliau, adalah agak tidak adil bagi penduduk di Labuan, sekiranya tarif air dinaikkan sedangkan perkhidmatannya semakin lemah.

Untuk rekod, pada tahun 2017, kira-kira 1,700 pengguna melibatkan empat kampung terjejas gangguan bekalan air yang amat kritikal untuk tempoh beberapa hari akibat daripada saluran paip bawah tanah pecah.

Advertisement