Anda di sini

Fuziah tuntut permohonan maaf

Advertisement

KUANTAN: Pengerusi Keadilan negeri Pahang Fuziah Salleh memberi tempoh 24 jam kepada seorang pemilik blog agar membuat permohonan maaf atau berhadapan tindakan saman kerana mengaitkannya dengan kegiatan salah guna kenderaan milik kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.

Tindakan individu yang menggunakan nama Yusman Zahari Zakaria itu secara jelas menuduhnya selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggunakan kenderaan Jabatan Hutan Daerah Raub dalam artikel yang disiarkan kelmarin bertajuk ‘Fuziah Salleh bercakap depan cermin, terbukti beliau salah guna aset kerajaan’.

“Saya dengan tegas menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan mencabar beliau (individu terbabit) agar tampil dengan berani tanpa berselindung dengan blog dan Facebook yang menyembunyikan tentang biodata dirinya.

“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya. Saya juga telah mengarahkan peguam saya bertindak dengan sewajarnya di dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini semalam.

Katanya fitnah yang disiarkan menerusi laman blog itu juga telah ditularkan di media-media sosial termasuk dalam Facebook.

Fuziah turut memaklumkan sepanjang kempen pilihan raya itu, katanya beliau telah mengambil cuti dengan mengisi borang cuti secara rasmi selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menggunakan kenderaan sendiri sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua pengundi di Cameron Highlands jangan mudah terperdaya dengan propaganda dan fitnah yang semakin hebat yang dimainkan menjelang hari pengundian pada 26 Jan ini.

PRK itu diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov tahun lepas membatalkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C.Sivarraajh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 setelah didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

PRK Cameron Highlands pada 26 Jan ini menyaksikan pertandingan empat  penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan iaitu M.Manogaran, Ramli Mohd Nor (BN) serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan petani, Wong Seng Yee. — Bernama

Advertisement