Anda di sini

187 guru baharu dapat tempat di sekolah rendah

Advertisement
MISTIRINE (dua dari kanan) menyampaikan surat penempatan kepada guru baharu.
MISTIRINE (dua dari kanan) menyampaikan surat penempatan kepada guru baharu.

KOTA KINABALU: Seramai 187 graduan pendidikan keluaran 2018 ditempatkan ke sekolah rendah di seluruh negeri mengikut kekosongan jawatan guru.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Mistirine Radin berkata, kesemua guru baharu itu akan ditempatkan mengikut keperluan opsyen dan lokaliti daerah yang kritikal sebagai keutamaan kriteria pelantikan dan penempatan itu.

"Pengkhususan opsyen guru-guru baharu kali ini adalah terdiri daripada pelbagai opsyen seperti Bahasa Inggeris, Kadazan Dusun, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Muzik, Jasmani, Pendidikan Khas dan lain-lain.

"Kesemua guru baharu ini adalah anak tempatan Sabah selaras dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia Dasar 90:10 bagi merealisasikan 90 peratus guru Sabah adalah anak tempatan.

"Dengan kemasukan 187 guru baharu ini, guru sekolah rendah anak tempatan kelahiran Sabah sudah mencapai 86.81 peratus," katanya ketika dalam Majlis Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Baharu Sekolah Rendah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Bil 1/2019, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sedar terdapat jurang perbezaan status kedudukan guru di Sabah di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, daerah yang berhampiran dengan pusat bandaraya sudah mengalami kelebihan guru manakala daerah lain pula masih kekurangan guru.

"Penempatan guru baharu kali ini juga adalah mengambil kira daerah-daerah yang mengalami kekurangan guru di samping keperluan pengkhususan opsyen dalam daerah masing-masing.

"Saya ingin mengingatkan semua guru baharu agar sentiasa mengamalkan Etika Profesion Perguruan dan mematuhi segala peraturan yang termaktub dalam akta pendidikan serta perintah am tidak kira di mana anda berada," katanya.

Menurutnya, guru-guru harus membimbing semua murid dengan kesabaran dan dedikasi seterusnya membentuk mereka menjadi seorang modal insan yang berjaya pada masa hadapan.

  • oleh
  • Advertisement