Anda di sini

17 laporan polis diterima sepanjang 10 hari berkempen

Advertisement
 Ashari ketika sidang media berkenaan pengundian awal Pilihan Raya Kecil P.078 Cameron Highlands di Cool Point Hotel semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Ashari ketika sidang media berkenaan pengundian awal Pilihan Raya Kecil P.078 Cameron Highlands di Cool Point Hotel semalam. — Gambar Bernama

TANAH RATA: Sebanyak 17 laporan polis diterima sepanjang tempoh 10 hari berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Ashari Abu Samah.

Katanya laporan yang diterima semuanya berkaitan isu pemberian wang, khemah yang dirosakkan, kertas undi yang ditularkan di media sosial dan kekecohan yang berlaku di Sungai Koyan, Kuala Lipis kelmarin.

“Setakat ini, hanya satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen  5(6)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu berkenaan kertas undi yang ditularkan di media sosial,” katanya dalam sidang media di Pusat Media PRK Parlimen Cameron Highlands di sini semalam.

Berkenaan insiden kekecohan di Sungai Koyan, Ashari berkata polis masih menyiasat isu berkenaan selepas calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor membuat laporan polis.

Dilapor, video yang menunjukkan penginapan UMNO Rompin di Pos Lenjang, Kuala Lipis didatangi Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli yang juga Naib Pengerusi DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bersama beberapa individu yang didakwa tidak berpuas hati selepas jentera BN dikatakan ‘membongkar’ tindakan anggota Pakatan Harapan (PH) menggunakan kenderaan kerajaan untuk berkempen.

Selain itu, video yang menunjukkan anggota jentera BN bertelingkah dengan individu yang pakaiannya tertera logo PH bersama sebuah kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di sebalik bendera Jalur Gemilang itu turut tular sejak kelmarin.

Berkenaan dengan kenderaan yang mempunyai logo Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang dikatakan diguna untuk berkempen, Ashari berkata terdapat satu laporan polis dibuat oleh jentera BN.

Mengenai dakwaan pemberian wang oleh PH seperti yang ditularkan melalui beberapa gambar dalam media sosial baru-baru ini, beliau berkata kes itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Ashari berkata polis telah meluluskan 41 permit ceramah sepanjang tempoh berkempen yang terdiri daripada 25 permit dipohon BN dan 16 permit dipohon PH.

Berhubung pengundian awal hari ini, Ashari berkata 232 pegawai dan anggota polis akan mengundi di Bilik Maklumat Balai Polis Brinchang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, manakala 15 pegawai dan anggota polis akan mengundi di Bilik Maklumat Balai Polis Sungai Koyan bagi DUN Jelai.

“Keseluruhan pegawai dan anggota polis yang akan mengundi esok adalah 247. Jumlah itu termasuk mereka yang masih berkhidmat, telah bersara, telah bertukar (tempat kerja), telah meletak jawatan dan telah dibuang kerja,” katanya.

Beliau menjangkakan 90 peratus pegawai dan anggota akan keluar mengundi hari ini. — Bernama

Advertisement