Anda di sini

V Shem, Wee Kiong gagal buru gelaran kedua

Advertisement
 V Shem (kanan) dan Wee Kiong beraksi menentang Gideon dan Kevin pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil semalam.  —  Gambar Bernama
HAMPA: V Shem (kanan) dan Wee Kiong beraksi menentang Gideon dan Kevin pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal dalam misi memburu gelaran kedua sebagai pemain profesional selepas Thailand Masters minggu lalu apabila tewas dalam aksi separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini semalam.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa akur apabila tewas di tangan beregu nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, 18-21, 22-24, dalam pertarungan 37 minit itu.

Bekas pasangan nombor satu dunia itu mengambil keputusan untuk bergelar profesional selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 5 Jan lalu.

Dalam pada itu, Wee Kiong menyifatkan gandingan Indonesia itu mempunyai kelebihan dalam aspek ketangkasan selain mempunyai taktikal permainan baik yang sukar diatasi.

“Dalam perlawanan pantas, mereka menampilkan aksi yang baik serta teknik pukulan agak mengelirukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui mereka boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik pada saingan tersebut jika tidak melakukan banyak kesilapan.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara,Teo Ee Yi-Ong Yew Sin bakal berdepan laluan getir bertemu dengan pasangan Indonesia itu di pentas final esok.

Ee Yi-Yew Sin melangkah ke final apabila terpaksa berhempas pulas selama 44 minit sebelum menewaskan beregu senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, 21-6, 18-21, 21-19 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Yew Sin, bagaimanapun, mengakui lawan dari Indonesia itu adalah gandingan yang cukup mantap namun akan memberikan tentangan yang sengit bagi melakukan kejutan sebagai pemain bukan pilihan.

“Bagi saya peluang sama rata, kami akan bermain habis-habisan,” katanya.

Dalam pada itu, pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Chen Long dari China mengambil masa 49 minit untuk menempah slot final dalam acara perseorangan lelaki apabila menundukkan pemain Denmark, Viktor Axelsen pada saingan separuh akhir. — Bernama

Advertisement