Anda di sini

Son Wan Ho dan Ratchanok muncul juara Malaysia Masters

Advertisement
 Chong Wei (tengah) bergambar bersama Son Wan Ho (kanan)  ketika majlis penyampaian hadiah kejuaraan perseorangan lelaki badminton Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil semalam. — Gambar Bernama
BARISAN HEBAT: Chong Wei (tengah) bergambar bersama Son Wan Ho (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah kejuaraan perseorangan lelaki badminton Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pemain nombor lima dunia, Son Wan Ho terpaksa berhempas pulas sebelum menjuarai gelaran perseorangan lelaki pada kejohanan badminton Malaysia Masters 2019 selepas menumpaskan pemain China, Chen Long di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Pemain Korea Selatan itu mengambil masa kira-kira sejam sebelum menewaskan Chen Long yang menduduki ranking keempat dunia, dengan ‘straight set’, 21-17, 21-19.

“Pertemuan menentang Chen Long sentiasa sengit. Saya sangat gembira untuk menang dan muncul juara. Persekitaran di gelanggang ini sedikit mengelirukan. Saya hanya beraksi dengan corak permainan saya dan berharap dapat bermain dengan baik pada kejohanan akan datang,” katanya selepas perlawanan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, pemain Thailand Ratchanok Intanon berjaya mempertahankan gelaran kategori perseorangan wanita apabila mengalahkan juara dunia, Carolina Marin dari Sepanyol; 21-9, 22-20.

“Saya beraksi seperti biasa hari ini. Menjuarai gelaran ini kali ini memberi inspirasi kepada saya menjadi pemain lebih baik pada masa akan datang. Tahun ini amat penting kepada kesemua pemain untuk layak beraksi pada Sukan Olimpik 2020.

“Saya perlu meraih keputusan yang baik pada setiap kejohanan, itu fokus saya,” katanya.

Dalam pada itu, beregu nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun menjuarai kategori beregu wanita selepas menumbangkan pasangan nombor empat dunia, Greysia Polii-Apriyani Rahayu dari Indonesia; 18-21, 21-16 dan 21-16. — Bernama

Advertisement