Anda di sini

Hatrik Mbappe, Cavani pastikan PSG lakar kemenangan terbesar

Advertisement
 Mbappe (kanan) meraikan jaringannya bersama Cavani ketika membantu PSG membelasah Guingamp di Parc des Princes, Paris Sabtu lepas. — Gambar AFP
BERPESTA GOL: Mbappe (kanan) meraikan jaringannya bersama Cavani ketika membantu PSG membelasah Guingamp di Parc des Princes, Paris Sabtu lepas. — Gambar AFP

PARIS, Perancis: Kylian Mbappe dan Edinson Cavani masing-masing menjaringkan hatrik ketika Paris Saint Germain (PSG) mencipta kemenangan terbesar di gelanggang sendiri apabila membelasah Guingamp 9-0 dalam aksi Ligue 1 Perancis Sabtu lepas.

Pendahulu liga itu kelihatan membalas dendam ke atas kelab tercorot yang menamatkan impian mereka untuk memenangi kejuaraan Piala Liga Perancis buat kali keenam berturut-turut pada awal bulan ini.

Ia juga kemenangan terbesar PSG di Parc des Princes, selepas pernah menang 8-0 ke atas Dijon 12 bulan yang lalu tetapi kurang satu gol untuk menyamai rekod kemenangan terbesar – menewaskan Cote Chaude 10-0 dalam Piala Perancis pada 1994.

PSG, yang memiliki kelebihan 13 mata di singahsana liga dengan kurang dua perlawanan, hanya tercicir empat mata dari 19 perlawanan pertama musim ini ketika mereka memburu rekod tanpa kalah dalam liga musim ini.

Neymar juga menjaringkan dua gol ketiga tiga penyerang PSG bergandingan untuk 58 gol setakat musim ini sementara Mbappe mengekalkan kedudukan selaku penjaring terbanyak liga dengan 17 gol dari hanya 14 perlawanan.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel, bagaimanapun melihat pemainnya, Marco Verratti dipaksa meninggalkan padang pada lewat permainan kerana kecederaan serius, dengan pemain antarabangsa Itali itu diragui dapat diturunkan pada perlawanan pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Manchester United bulan hadapan.

“Ia satu kemungkinan beliau perlu berehat untuk beberapa minggu,” kata Tuchel. “Kecederaan Marco mengubah segala-galanya. Bermain tanpa Marco adalah sangat berbeza, saya fikir ia serius.”

PSG tidak membuang masa mengawal permainan dengan satu gol cantik Neymar pada minit ke-11 memulakan pesta gol dari umpanan Dani Alves.

Neymar terlibat dalam kesemua gol PSG, yang menamatkan saingan lapan minit sebelum rehat apabila bergandingan cantik dengan Mbappe untuk gol kedua dan gol pertama Mbappe.

Mbappe menambah jaringan pada minit akhir sebelum rehat dari umpanan Cavani.

Permainan semakin berat sebelah selepas rehat dengan Cavani menyempurnakan hantaran Juan Bernat sebelum minit ke-60 dan menanduk umpanan Angel Di Maria tidak lama selepas itu.

Guingamp sememangnya tidak dapat mengawal nasib mereka dengan Mbappe melengkapkan hatrik pada minit ke-68.

Cavani juga melengkapkan hatrik selepas merembat bola muntah dan masih ada 10 minit baki permainan ketika PSG memburu rekod kemenangan terbesar dengan Thomas Muenier menjaringkan gol kesembilan pada minit ke-83. — AFP

Advertisement