Anda di sini

FBM KLCI dijangka cecah 1,700 mata

Advertisement

KUALA LUMPUR: Momentum belian yang meningkat dalam kaunter berkaitan indeks dijangka terus memacu Bursa Malaysia untuk lebih tinggi pada minggu ini, selain mempengaruhi petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) untuk mencecah paras 1,700 mata.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management Malaysia Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata saham berkaitan pembinaan akan menerajui permintaan pada minggu depan, berikutan sentimen terhadap sektor tersebut meningkat.

Beliau berkata keyakinan pelabur meningkat dan kerajaan dijangka melabur dalam projek-projek yang sebelum ini dikaji semula, seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Mass Rapid Transit Laluan 3.

Katanya prestasi dagangan Bursa yang kukuh disebabkan kadar inflasi dan pertumbuhan ekonomi yang stabil yang akan memberi sokongan kepada sentimen pada masa akan datang.

“Walaupun kita mencatat corak penurunan dalam tempoh 18 hari pertama 2019, penurunan di Bursa (5.2 peratus) agak rendah berbanding negara-negara jiran, Thailand dan Singapura, yang mencatat lebih 10 peratus.

“Ini bermakna kita melakukan dagangan dalam pasaran saham yang defensif dan FBM KLCI kita masih berdaya tahan. Saya yakin aliran meningkat semasa akan berterusan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata paras sokongan dan halangan kini berada pada 1,670 dan 1,700.

Bagi minggu baharu berakhir, bursa tempatan mencatatkan corak dagangan yang tidak menentu, dipengaruhi oleh faktor luaran seperti pengumuman mengenai pakej rangsangan oleh China, rundingan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang dijadualkan di Washington pada akhir bulan ini, selain berita baharu mengenai pelan United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI naik sembilan mata kepada 1,692.22.

Indeks FBM Emas meningkat 86.33 mata kepada 11,704.36, Indeks FBMT 100 menambah 82.77 mata kepada 11,583.99, Indeks FBM Emas Shariah menokok 60.26 mata kepada 11,627.73, FBM 70 melonjak 186.18 mata kepada 13,777.56 dan Indeks FBM Ace naik 11.44 mata kepada 4,469.54.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 112.62 mata kepada 17,528.25, Indeks Perladangan meningkat 83.40 mata kepada 7,201.04, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.21 mata kepada 163.66.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 12.37 bilion unit bernilai RM9.32 bilion daripada 14.17 bilion unit bernilai RM11.30 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.19 bilion unit bernilai RM8.75 bilion daripada 10.41 bilion unit bernilai RM10.59 bilion.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 1.83 bilion unit bernilai RM359.94 juta daripada 1.90 bilion unit bernilai RM368.88 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 1.34 bilion saham bernilai RM211.61 juta daripada 1.85 bilion saham bernilai RM341.04 juta. — Bernama

Advertisement