Anda di sini

Bentuk Skuad Belia lebih mantap

Advertisement
 Pemain-pemain dari Limbang, Bintulu dan Miri menjalani fasa pemilihan Skuad Belia Sarawak 2019 di Stadium Miri semalam.
REBUT TEMPAT: Pemain-pemain dari Limbang, Bintulu dan Miri menjalani fasa pemilihan Skuad Belia Sarawak 2019 di Stadium Miri semalam.

MIRI: Ketua Jurulatih Skuad Belia Sarawak 2019, Mohd Safri Amit mengenal pasti antara enam atau tujuh orang pemain baharu yang berpotensi bakal diserapkan dalam skuad tersebut.

Mohd Safri berkata, sepanjang pemerhatiannya dalam tiga fasa pemilihan iaitu di Sri Aman, Sarikei dan Miri beliau mengesahkan ada beberapa pemain berbakat mampu mengibarkan cabaran skuad Belia Sarawak musim ini.

“Secara keseluruhannya, fasa pemilihan di tiga lokasi iaitu Sri Aman, Sarikei dan Miri berjalan lancar dan kita sudah kenal pasti enam atau tujuh pemain untuk dibawa ke Kuching pada 23 Januari ini,” katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan di Stadium Miri di sini semalam.

Mohd Safri berkata, pihaknya akan memilih seramai 25 pemain terbaik dari semua fasa pemilihan untuk menjalani latihan intensif pada 25 Januari ini.

“Kita ada satu lagi fasa pemilihan iaitu di Kuching pada 22 Januari ini manakala pada 23 Januari ini dilakukan fasa terakhir pemilihan pemain-pemain.

“Bagaimanapun, pada 25 Januari ini kita sudah mempunyai pasukan lengkap skuad Piala Belia Sarawak 2019 dan mula menjalani latihan intensif,” katanya.

Ditanya peluang bekas pemain belia musim lalu mengisi kekosongan musim ini, Mohd Safri berkata mereka juga akan dinilai semula dalam sesi pemilihan.

“Saya akan menilai semula prestasi mereka bersama pemain-pemain baharu, jika mereka menunjukkan kualiti yang dimahukan maka mereka kita ambil semula,” jelasnya.

Mohd Safri meletakkan sasaran tinggi untuk membawa Skuad Belia Sarawak musim ini untuk ke pentas akhir berdasarkan pengalamannya mengemudi skuad itu musim lalu.

“Saya yakin semua pemain yang dipilih nanti mampu mengalas tangunggjawab dan sasaran pasukan untuk ke peringkat akhir,” katanya.

Sementara itu, kriteria pemilihan pemain-pemain dilihat secara individu dan semangat bekerjasama dalam satu pasukan.

“Saya bukan hanya mahu pemain-pemain yang mempunyai kemahiran individu tetapi paling penting mereka bekerjasama antara satu sama lain sebagai satu pasukan,” jelasnya.

Selain Mohd Safri, sesi pemilihan pemain-pemain dibantu oleh Jamal Wasli selaku penolong jurulatih.

Lebih 40 pemain dari Limbang, Bintulu dan Miri menyertai fasa pemilihan ketiga yang berlangsung di Stadium Miri semalam.

Untuk rekod, Skuad Piala Belia Sarawak melakarkan tujuh kemenangan, tujuh seri seri dan empat kekalahan pada edisi 2018 yang turut menyaksikan Sarawak tidak pernah kalah pada aksi di laman sendiri.

  • oleh
  • Advertisement