Anda di sini

Belia Usia sampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran

Advertisement
JAMAWI ketika menyerahkan replika cek sumbangan Belia Usia Sabah kepada Hassan.
JAMAWI ketika menyerahkan replika cek sumbangan Belia Usia Sabah kepada Hassan.

PUTATAN: Badan Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Belia Usia) telah menyerahkan sumbangan wang tunai kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Pasir di sini.

Majlis penyerahan sumbangan yang bernilai RM10,000 itu telah disempurnakan oleh Ketua Belia Usia Sabah Jamawi Jaafar dan diserahkan kepada Pengerusi Bencana Alam Daerah yang juga Pegawai Daerah Putatan Hassan Mahali.

Menurut Jamawi yang juga Adun Kemabong, sumbangan itu hasil daripada kutipan tabung dari 25 bahagian Belia Usia di seluruh Sabah.

"Pada hari ini juga, kita (Belia Usia) turut menyerahkan sumbangan kewangan kepada mangsa kebakaran di Kg Perpaduan Pulau Banggi, Kudat yang diserahkan kepada Naib Ketua Belia Jamlie Suntang untuk disampaikan kepada Penolong Pegawai Daerah Banggi," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan itu di Dewan Masyarakat Kg Pasir Putih pada Ahad.

Hadir sama, Penolong Setiausaha Belia Usia Imam Mohd Taslim Tahir, Ketua Penerangan Belia Usia Jaafar Abd Wahid serta Ketua Belia Usia Sandakan dan Penampang Mohamad Sufan Bahrin dan Jamain Mohd Soon.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan terhadap mangsa mangsa kebakaran, Jamawi berkata Belia Usia Sabah yakin kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan kerajaan prihatin dan memahami masalah rakyat.

Advertisement