Anda di sini

Sentimen perniagaan lemah, hapuskan ketidakpastian

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keyakinan perniagaan yang rendah merupakan kebimbangan kepada pertumbuhan ekonomi pada masa depan.

Sehubungan itu, ramai pemikir berpendapat penting bagi kerajaan untuk menghapuskan ketidakpastian melalui dasar-dasar ekonomi yang mampu membentuk persekitaran perniagaan secara keseluruhan di negara ini.

Bagi Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Dr Zakariah Abdul Rashid, kerajaan perlu membawa kembali sentimen yang baik dengan menunjukkan usaha yang menyokong kepada perniagaan dalam menghadapi keadaan semasa.

Kerajaan juga perlu membendung isu-isu politik yang menjejaskan persekitaran perniagaan, katanya kepada Bernama.

Walaupun menjangka prospek pertumbuhan bagi 2019 akan meningkat daripada sasaran 4.7 peratus yang ditetapkan bagi 2018, katanya keadaan semasa akan dipengaruhi oleh ketidaktentuan mengenai perang perdagangan AS-China, harga minyak yang tidak menentu dan Brexit.

“Di peringkat dalaman, saya bersetuju mengenai kekurangan dasar sokongan untuk menangani isu-isu luar, yang menguasai sentimen dan keadaan perniagaan.

“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, menjangka dasar ekonomi dalaman untuk mengatasi keadaan agak tidak realistik.

“Tambahan pula, keadaan politik dalaman masih tidak stabil berikutan kerajaan baharu hanya mengambil alih pentadbiran beberapa bulan lalu daripada parti gabungan yang telah mentadbir negara sejak merdeka.

“Pada masa sama, prestasi pasaran ekuiti dan data perdagangan bagi November yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia juga tidak menggalakkan,” jelas Zakariah.

Sehubungan itu, isu-isu struktur jangka panjang yang memberi kesan kepada asas ekonomi tidak boleh dikompromi.

Kajian yang dijalankan oleh MIER pada suku ketiga 2018 menunjukkan Indeks Sentimen Pengguna (CSI) susut kepada 107.5 daripada paras tertinggi dalam tempoh 21 tahun pada 132.9 yang dicatatkan pada suku kedua 2018.

Bagi Indeks Keadaan Perniagaan (BCI), ia merosot kepada 108.8 daripada 116.3, disebabkan faktor seperti penurunan dalam pengeluaran dan perbelanjaan pelaburan yang kurang aktif.

Pada suku tahun itu, pengguna masih optimis, berkaitan dengan pendapatan semasa mereka, menjangka prospek pendapatan dan pekerjaan.

Perniagaan turut optimis mengenai persekitaran perniagaan semasa, disokong oleh jualan baharu, pesanan di peringkat domestik dan eksport.

Bagaimanapun, kajian terkini oleh RAM Holdings Bhd dan RAM Credit Information Sdn Bhd bagi separuh pertama 2019 menunjukkan kebimbangan mengenai landskap ekonomi yang lemah.

Menurut RAM, ini menyebabkan keyakinan dalam kalangan syarikat korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berada pada tahap terendah sejak pelaksanaan kaji selidik Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) dua tahun lalu.

Indeks Korporat dan PKS bagi suku pertama dan suku kedua 2019 menunjukkan penurunan keyakinan, masing-masing kepada 55.1 peratus dan 51.0 peratus berbanding 55.7 peratus dan 53.5 peratus pada suku keempat 2018 dan suku pertama 2019.

RAM berkata walaupun nilai indeks melebihi 50.0 masih menunjukkan sentimen positif, aliran penurunan semasa menunjukkan perniagaan mempunyai prospek yang kurang yakin bagi 2019.

Susulan itu, jumlah syarikat yang menyatakan keadaan ekonomi lemah sebagai cabaran utama mereka telah meningkat kepada 41 peratus (syarikat korporat) dan 41.2 peratus (PKS), diikuti kenaikan kos untuk menjalankan perniagaan dan persaingan yang meningkat.

“Pertumbuhan domestik yang perlahan, permintaan global dan aktiviti pelaburan yang tidak menentu, serta kekurangan pemangkin positif, termasuk Belanjawan 2019 yang agak neutral, semuanya memainkan peranan dalam sentimen perniagaan yang secara amnya lemah dalam tempoh enam bulan akan datang,” menurut RAM.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pedagang ASEAN (Perda-ASEAN) Datuk Moehamad Izat Emir berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menemui persatuan yang mewakili komuniti perniagaan dan berkongsi pelannya untuk masa depan.

“Terdapat terlalu banyak berita negatif dari luar negara dan ketidakpastian tidak baik untuk perniagaan, menjadikan sukar bagi kami untuk memilih hala tuju.

“Oleh itu, saya berpendapat sudah tiba masanya bagi Tun Dr Mahathir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menjelaskan perancangan yang dilakukan yang kami tidak tahu,” katanya kepada Bernama. — Bernama

Advertisement