Anda di sini

KKM komited beri perkhidmatan cemerlang di Sabah: Lee

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan komited untuk memberi perhatian yang sewajarnya demi perkhidmatan yang cemerlang bagi rakyat Sabah.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata setiap warga kementerian di Sabah melaksanakan tugas dengan baik walaupun berdepan situasi sistem kesihatan yang begitu mencabar dan sumber yang terhad.  

Katanya inisiatif-inisiatif yang baik yang telah dibangunkan oleh warga kementerian tersebut di Sabah akan diberi perhatian dan sokongan selanjutnya.

Inisiatif itu antaranya ‘Ambulance GPS Tracker System’ di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas yang dapat memantau pergerakan pesakit dari hospital daerah ke hospital rujukan, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Lee tiba di sini kelmarin untuk lawatan kerja bagi melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas dan Hospital Queen Elizabeth II di sini.

Beliau turut melawat klinik kesihatan di Semporna dan Inanam di sini serta melihat sendiri Bot Klinik Bergerak di Semporna.

Dalam pada itu, Lee menghargai keputusan kerajaan negeri yang menyambut baik saranan larangan merokok di tempat makan awam seperti tertera di dalam World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC).

Beliau berkata Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama lebih erat dengan kerajaan negeri terutama yang melibatkan pembangunan negeri Sabah, polisi dan dasar-dasar terkini. — Bernama

Advertisement