Anda di sini

Filem ‘Roma’ arahan Cuaron menang besar di Critics’ Choice Awards

Advertisement
 Pelakon ‘Roma’ bergambar selepas memenangi Filem Terbaik Critics’ Choice Awards. — Gambar AFP
TERBAIK: Pelakon ‘Roma’ bergambar selepas memenangi Filem Terbaik Critics’ Choice Awards. — Gambar AFP

MUSIM anugerah di Hollywood semakin rancak dengan ‘Roma’ arahan Alfonso Cuaron – yang meraikan zaman kanak-kanak pengarah itu di Kota Mexico pada zaman 1970an – merupakan pemenang terbesar di majlis Critics’ Choice Awards yang berlangsung pada minggu lepas.

‘Roma’ memenangi trofi bagi filem terbaik, filem bahasa asing terbaik, dan bagi pengarah dan sinematografi terbaik untuk Cuaron.

“Kumpulan orang Mexico ini tidak seteruk seperti yang kadang-kadang digambarkan,” kata Cuaron, yang merujuk kepada retorik keras Presiden Donald Trump mengenai imigresen.

Dengan penggambaran yang dibuat dalam warna hitam putih, dan difilemkan dalam bahasa Sepanyol dan bahasa peribumi Mixtec, ‘Roma’ merupakan satu kisah separa autobiografi mengenai satu tahun dalam kehidupan keluarga Cuaron dan pengasuhnya ketika dia kanak-kanak.

‘Roma’ – tajuk yang merujuk kepada sebuah kawasan kejiranan yang mewah di Kota Mexico – sebelum ini memenangi dua anugerah Golden Globe dan merupakan calon utama bagi anugerah Oscar di majlis Academy Awards pada Februari.

Christian Bale, yang membawa watak bekas naib presiden Amerika Syarikat Dick Cheney dalam ‘Vice’, memenangi anugerah dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Filem Komedi, manakala Glenn Close (‘The Wife’) dan Lady Gaga (‘A Star is Born’) sama-sama menang dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Mahershala Ali (‘Green Book’) pulang selepas memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik manakala Regina King (‘If Beale Street Could Talk’) memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Filem kerabat diraja abad ke-18 yang aneh ‘The Favourite’, yang menyertai majlis berkenaan dengan 14 pencalonan, memenangi anugerah bagi Barisan Pelakon Terbaik, manakala bintangnya Olivia Colman memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Filem Komedi.

‘Spider-Man: Into the Spider-Verse’ memenangi anugerah Filem Animasi Terbaik selepas ia mengatasi saingan sengit daripada ‘The Incredibles 2’ terbitan Pixar-Disney, ‘Ralph Breaks the Internet’ terbitan Disney, dan filem pelik arahan Wes Anderson ‘Isle of Dogs’.

Filem Tom Cruise ‘Mission: Impossible – Fallout’ memenangi anugerah Filem Aksi Terbaik untuk menewaskan dua filem blockbuster box office terbitan Marvel-Disney ‘Black Panther’ dan ‘Avengers: Infinity War’.

Bagaimanapun ‘Black Panther’ yang menerima pelbagai pencalonan memenangi anugerah Kesan Visual Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik dan Rekaan Penerbitan Terbaik.

‘Crazy Rich Asians’ menang dalam kategori Komedi Terbaik untuk menewaskan ‘The Favourite’ dan ‘The Death of Stalin’, selain beberapa filem lain, manakala filem pasca apokaliptik yang menyeramkan terbitan John Krasinski ‘A Quiet Place’ menang dalam kategori Filem Sains Fiksyen /Seram Terbaik.

Dalam kategori muzik, ‘Shallow’ yang dinyanyikan oleh Lady Gaga dalam ‘A Star Is Born’ memenangi Lagu Terbaik, manakala Justin Hurwitz menang dalam kategori Skor Terbaik untuk ‘First Man’.

Filem ‘Mary Poppins Returns’ dicalonkan untuk anugerah dalam beberapa kategori, termasuk kategori muzik dan kategori Lagu Terbaik, tetapi pulang dengan tangan kosong.

Dilihat sebagai pengukur bagi anugerah Oscar, majlis Critics’ Choice Awards turut merangkumi hadiah bagi siaran televisyen terbaik.

‘The Americans’ memenangi anugerah bagi Siri Drama Terbaik manakala ‘The Marvelous Mrs Maisel’ menerima anugerah Siri Komedi Terbaik, dan bintangnya Rachel Brosnahan menang dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Siri Komedi.

Acara tahunan itu dianjurkan oleh Broadcast Film Critics Association dan Broadcast Television Journalists Association. Majlis dihoskan oleh pelakon Taye Diggs. — AFP

Advertisement