Anda di sini

Satu lagi kes kematian rabies dicatat di Sarawak

Advertisement
 
 

KUCHING: Seorang warga emas dari Kampung Sungai Du’uh, Serian disahkan meninggal dunia akibat jangkitan rabies atau anjing gila.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berusia 80 tahun itu meninggal dunia pada pukul 9.35 pagi Jumaat di Hospital Umum Sarawak.

“Pada 11 Januari lepas, mangsa mengalami demam, batuk, muntah, lesu, sakit badan dan rasa lemah pada tangan kiri, dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari yang sama. Bagaimanapun, mangsa tidak memaklumkan bahawa dia telah digigit oleh anjing. 

“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Januari oleh klinik swasta yang sama setelah gejala yang dihidapinya tidak berkurangan semasa mendapatkan rawatan ulangan. Keadaan mangsa bertambah teruk dengan gejala neurologi termasuk hidrofobia dan aerofobia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dengan pengesahan terbaru ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Januari 2019 adalah 17 kes termasuk 16 kematian. - Bernama

Advertisement