Anda di sini

Jawatankuasa Khas ditubuh untuk melancarkan pengambilalihan SESB dari TNB

Advertisement
SHAFIE (tengah) dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib (empat kanan), Jaujan (dua kanan), Christina (tiga kiri) serta Susan (empat kiri) serta tetamu kehormat lain menyempurnakan acara gimik perasmian.
SHAFIE (tengah) dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib (empat kanan), Jaujan (dua kanan), Christina (tiga kiri) serta Susan (empat kiri) serta tetamu kehormat lain menyempurnakan acara gimik perasmian.

KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dengan kadar segera bagi melancarkan lagi pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jawatankuasa khas ini akan melibatkan wakil dari negeri ini dan kerajaan Pusat khusus untuk membincangkan liabiliti yang berjumlah hampir RM2 bilion itu.

"Jawatankuasa ini akan mempercepatkan dan membincangkan bagaimana pengambilalihan akan dilakukan kerana ia membabitkan dari segi masalah kewangan, kita sedia tahu ia mempunyai liabiliti dan ianya perlu dirunding bersama dengan baik.

"Saya juga akan berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai bagaimana bagi mengurus liabiliti itu...ianya boleh dijayakan tetapi perlu perbincangan," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Pesta Tarian Naga, Unikon dan Singa sempena Tahun Baharu Cina 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata, bekalan elektrik adalah satu unit penting kepada pembangunan kemajuan Sabah dalam usaha negeri ini bergerak ke arah perindustrian.

Katanya, elektrik adalah satu kemudahan bekalan yang menjadi keutamaan menarik pelabur datang ke Sabah dan kadarnya perlu diurus dengan baik.

"Ia bukan saja penting kepada pelabur tetapi juga rakyat yang terletak di kampung-kampung...mereka masih tidak menikmati kemudahan ini walaupun negara sudah lama merdeka...mereka masih bergantung dengan generator dan ada yang kegelapan.

"Kita akan susun semula...ia bukan mudah tetapi satu tanggungjawab yang perlu dipikul sebaik mungkin agar hutangnya dapat dikurangkan dari semasa ke semasa," katanya.

Menurutnya, pelbagai cara akan digunakan nanti dan sekiranya mempunyai keperluan, kerajaan akan meningkatkan penggunaan biodiesel dan tidak hanya bergantung kepada diesel, petrol dan gas.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong dan Datuk Christina Liew,  Presiden Gabungan Persatuan Masyarakat Cina Kota Kinabalu (USCCAKK) Datuk Susan Wong, Menteri-menteri Kabinet serta para tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement