Anda di sini

Elak sikap jadi 'pemerhati kehormat'

Advertisement
AHLI-ahli Kelab Misi UIAM merakamkan foto bersama Ma’mun, pensyarah UIAM, pemimpin setempat dan penduduk kampung yang hadir.
AHLI-ahli Kelab Misi UIAM merakamkan foto bersama Ma’mun, pensyarah UIAM, pemimpin setempat dan penduduk kampung yang hadir.

TAWAU: Golongan belia kelompok terbesar di Sabah dan tidak seharusnya sekadar menjadi ‘pemerhati kehormat’ terhadap segala dasar dan agenda pembangunan yang dirancang kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sebagai komponen komuniti utama, belia perlu melibatkan diri dengan aktif terhadap agenda pembangunan yang diadakan di negeri ini.

“Belia harus diseru dan dididik menjadi golongan berani mengambil dan memikul tanggungjawab, perubahan boleh menjadi lebih teruk tanpa tanggungjawab,” katanya.

Shafie berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman sempena Majlis Penutupan Kinara Siri 2 2019 di Dewan KK Ungkok Kg Iban Kuala Nansang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau percaya belia akan membawa perubahan positif dan bermanfaat jika bertanggungjawab, selain kreativiti dan inovasi serta berani memikul tanggungjawab.

“Jangan sesekali berfikir umur belia tahap usia yang terlalu muda dihabiskan dengan perkara-perkara serius dan besar, begitu juga dengan pemikiran bahawa sekarang masa untuk ‘enjoy’.

“Pemikiran sebegini adalah salah dan mesti ditinggalkan,” katanya, sambil menyifatkan ramai belia tidak sedar kepentingan mereka melibatkan diri dalam proses amalan demokrasi negara.

Menurutnya, ketidaksedaran itu berisiko untuk menyebabkan pentadbiran negara lesu malah boleh mengakibatkan sesuatu dasar yang memberi impak buruk kepada mereka ‘terlepas’.

Beliau berkata belia sendiri perlu menjadi pelopor agenda pembangunan golongan itu sebagai ‘pelengkap’ sekiranya kerajaan terlepas pandang perkara penting untuk kumpulan terbabit.

“Sebagai kerajaan, kita hanya boleh membuka jalan, dan menyediakan kain rentang putih, tetapi belialah yang mesti mencorak dan mewarnakannya (sendiri) dengan aspirasi yang betul.

“Jadilah belia berjiwa dan bercita-cita besar, bersemangat kuat, kesungguhan ikhlas, bertanggungjawab dan menyahut cabaran demi keluarga, bangsa, agama dan tanahair tercinta,” katanya.

 Untuk rekod, program Kinara Siri 2 yang dijalankan di Kg Iban Kuala Nansang, digerakkan oleh 25 pelajar yang menyertai Kelab Misi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kolaborasi Pusat Jaringan Komuniti Universiti (UCCE-BUDI).

Program ini juga kali kedua pernah diadakan di kampung sama oleh Kelab Misi UIAM yang memfokuskan aktiviti outreach seperti kesukarelawanan, kepimpinan, sumbangan dan pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement