Anda di sini

Ada keperluan mempertimbangkan semula pelaksanaan undang-undang adat di Sabah

Advertisement
SHAFIE (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada Richard.
SHAFIE (tiga kiri) menerima cendera kenangan daripada Richard.

KOTA KINABALU: Terdapat keperluan untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan undang-undang adat dan struktur Mahkamah Anak Negeri termasuklah penggunaan sepenuhnya perundangan yang berkaitan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan selepas berbincang dengan semua pemegang taruh mengenai keperluan penukaran penggunaan perkataan 'native' kepada 'indigenous' bagi memenuhi Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP).

"Apa juga keputusan kerajaan nanti, sudah pasti wujud sesetengah pihak yang menyokong terhadap usaha itu...dan sudah pasti terdapat juga mereka yang akan membantahnya.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengambil perhatian serius terhadap orang asal di negeri ini yang tinggal di pedalaman tetapi masih belum mendapatkan warganegara," katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), di sini malam Jumaat.

Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri sangat berterima kasih kepada program mahkamah bergerak yang sehingga kini telah melupuskan tidak kurang daripada 80,000 kes kanak-kanak tidak berdokumen.

Katanya, kerajaan memberikan jaminan bahawa tidak ada kumpulan etnik yang dipinggirkan di negeri ini khususnya dari segi pendaftaran dokumen.

"Terdapat ribuan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus di negeri ini termasuk Lundayeh di Long Pasia dan ramai kanak-kanak di Pantai Timur yang mana ibu bapa mereka gagal untuk mendaftarkan kelahiran anak-anak ini.

"Perkara ini perlu diberi perhatian segera bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika anak-anak ini ingin melanjutkan pendidikan mereka. Ia termasuklah memberikan dokumen-dokumen yang sepatutnya kepada anak-anak Sabah," katanya.

Shafie berkata, program itu juga membolehkan pengesahan sijil kelahiran dilakukan selepas lebih daripada 42 hari pendaftaran dilakukan.

Katanya, setelah Majistret berpuas hati dengan kebenaran dalam sijil kelahiran itu, mereka akan mengeluarkan sijil berkenaan. Mereka yang berjaya boleh mendaftar ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan kewarganegaraan.

"Kerajaan sangat berterima kasih kepada Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah yang memainkan peranan besar dalam pengenalan program berkenaan.

"Program Mahkamah Bergerak ini kini telah mencapai ke kawasan pedalaman di sini seperti Pensiangan dan Long Pasia," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement