Anda di sini

9 tonggak utama jadi pegangan GPS - Abg Jo

Advertisement
Abang Johari ditemani Tiong, Sim, Masing dan tetamu kehormat lain mengibarkan bendera GPS.
Abang Johari ditemani Tiong, Dr Sim, Masing dan tetamu kehormat lain mengibarkan bendera GPS.

KUCHING: Sembilan tonggak utama menjadi pegangan penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi memberi keutamaan negeri ini.

Presidennya yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sembilan tonggak itu adalah, mendukung perlembagaan, menghormati undang-undang, melindungi hak dan kepentingan Sarawak, membangunkan kesejahteraan dan kemajuan Sarawak.

Katanya, selain itu, budaya politik berintegiriti dan semangat patriotik, memperkasakan ekonomi Sarawak, memupuk perpaduan dan keamanan, membina kecemerlangan generasi anak Sarawak dan mempertahankan warisan budaya dan kemampanan hasil semulajadi.

"GPS mempunyai sembilan tonggak yang harus kita pertahankan demi keutamaan Sarawak.

"Dan malam ini adalah malam bersejarah dalam politik Sarawak yang mana kita menyaksikan pelancaran rasmi gabungan parti Sarawak, GPS," katanya pada majlis pelancaran GPS di Stadium Perpaduan, di sini malam Sabtu.

Pada masa sama, Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, GPS akan meneruskan semangat Team Tok Nan (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) demi kelangsungan pembangunan Sarawak.

Menurutnya, perjuangan Allahyarham diteruskan GPS di bawah pimpinannya bersama rakan-rakan parti lain, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

"Walaupun Tok Nan sudah pergi awal, tetapi semangat Team Tok Nan masih ada dan kita akan teruskan," katanya sambil menambah GPS merupakan entiti yang akan memastikan masa depan Sarawak terus terjamin.

"Sarawak hanya mahukan hak-haknya di dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan dihormati. Tidak lebih dan tidak kurang," tegasnya.

Terdahulu, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, sudah tiba masanya untuk Sarawak bersikap lebih tegas demi mempertahankan hak dan rakyatnya.

"Saya kata kita tidak akan lagi tidur dan berdiam diri. Marilah kita berdiri dan berjuang bagi hak milik kita.

"Cukuplah sudah dengan layanan seperti jajahan selama 55 tahun oleh warga Malaya. Kita bukan jajahan Orang Malaya!," tegasnya.

Mengulas tentang logo GPS, beliau memberitahu, burung kenyalang sebagai logo GPS adalah paling sesuai. 

Jelasnya, ia bukan sahaja salah satu spesies paling dilindungi di Sarawak, tetapi ia adalah burung paling keramat dalam kalangan beberapa suku kaum di negara ini.

"Maka itu kita tidak boleh membunuh burung kenyalang, dan bagi sebahagian orang, ia adalah burung yang paling dihormati.

"Bukan sahaja rakyat Sarawak tidak dapat membunuhnya, kita mesti juga menghormatinya apabila ia muncul di kalangan kita pada waktu pilihan raya negeri akan datang pada 2021," ujarnya.

Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, pembentukan GPS merupakan komitmen yang besar oleh kesemua empat parti pengasas gabungan itu untuk bekerjasama dengan penuh kepercayaan bagi membawa kemakmuran, keamanan dan kestabilan kepada rakyat Sarawak.

"Kami ahli GPS berjanji untuk melindungi hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan menegakkan perlembagaan dan memupuk masyarakat uang adil, saksama dan mengamalkan kesamarataan untuk rakyat Sarawak.

"Kami akan membangunkan Sarawak bukan sahaja untuk orang Melayu, Dayak atau Cina, tetapi untuk semua rakyat Sarawak," katanya.

Sementara itu, Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing berkata, penubuhan GPS amat bertepatan dengan perubahan politik sesama demi mempertahankan hak Sarawak.

"Kita sedar Sarawak masih jauh ke belakang dari segi pembangunan, sebab itu dengan penubuhan GPS ini kita dapat memastikan hak Sarawak dapat dipertahankan supaya rakyat dapat menikmati pembangunan yang sewajarnya," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement