Anda di sini

Pergiat industri hiliran perkayuan bernilai tambah tinggi

Advertisement
 Awang Tengah menandatangani dokumen BSC PUSAKA sambil disaksikan Len Talif (kanan), Naroden (kiri) dan Hashim sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Khas PUSAKA di Kuching, semalam.
BERPRESTASI: Awang Tengah menandatangani dokumen BSC PUSAKA sambil disaksikan Len Talif (kanan), Naroden (kiri) dan Hashim sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Khas PUSAKA di Kuching, semalam.

KUCHING: Pemain industri perkayuan tidak lagi boleh bergantung kepada pengeluaran perkayuan semata-mata, sebaliknya mempergiatkan industri hiliran yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini khususnya industri perabot yang mempunyai potensi di pasaran luar.

“Pembuatan perabot mempunyai potensi yang amat tinggi untuk dibangunkan dan Sarawak mempunyai kekayaan dari segi sumbernya.

“Kita tidak perlu lagi bergantung kepada pengeluaran kayu sahaja, tetapi boleh mentransformasikannya kepada pembuatan perabot yang mempunyai pasaran luas secara global,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Khas Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) yang dihadiri Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais serta Pengurus Besar Pusaka Hashim Bojet di sini, semalam.

Awang Tengah berkata, bagi melaksanakan usaha itu, pemain industri perlu lebih kreatif dalam pembuatan agar dapat menarik pasaran luar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ia merupakan langkah terbaik untuk pemain industri ke arah mentransformasikan diri dari segi produk nilai tambah.

Selain itu, beliau menyarankan PUSAKA melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kerana banyak peluang yang dapat diterokai termasuk dalam aktiviti biomas, biofuel, bioplastik dan sebagainya.

“Ini boleh diceburi kerana kita mempunyai sumber mentah yang mampan dan produk-produk ini mempunyai permintaan yang luas di pasaran global,” katanya.

Malah, beliau menyarankan pemain industri melibatkan diri dalam sektor industri halal yang berpotensi besar untuk dibangunkan.

Sementara itu, Hashim berkata, produk utama yang dieksport dalam 2018 masih didominasi oleh produk indusrti prima sebanyak 91 peratus.

“Manakala, nilai eksport untuk produk nilai rambah seperti perabot masih rendah sebanyak dua peratus.

“Maka di sini, peranan PUSAKA amat penting bagi membangunkan industri hiliran yang mencabar ini,” katanya.

Pada majlis itu, Awang Tengah turut menyaksikan upacara Penyerahan Kuasa Mengeluar Lesen Kilang Papan daripada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) kepada PUSAKA, selain menandatangani Dokumen Balanced Scorecard (BSC) PUSAKA.

  • oleh
  • Advertisement