Anda di sini

Pelajar perlu ada personaliti positif untuk berjaya: Maslee

Advertisement
 Maszlee (tengah) bergambar bersama Muhammad Syukur (dua kanan) atau lebih dikenali Syukur The Kampung Boy dan Por (dua kiri) yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2018 pada Program Singgah Cakna Bersama Syukur The Kampung Boy di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, semalam — Gambar Bernama
PERSONALITI BERJAYA: Maszlee (tengah) bergambar bersama Muhammad Syukur (dua kanan) atau lebih dikenali Syukur The Kampung Boy dan Por (dua kiri) yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2018 pada Program Singgah Cakna Bersama Syukur The Kampung Boy di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, semalam — Gambar Bernama

KUALA TERENGGANU: Golongan pelajar perlu mempunyai personaliti tersendiri yang memberi impak positif kepada orang di sekeliling mereka untuk menempa kejayaan gemilang dalam kehidupan masing-masing.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata personaliti yang baik ini hanya mampu dibentuk dengan rutin disiplin yang tinggi serta matlamat yang jelas dan ia memerlukan sokongan semua pihak terutama guru, ibu bapa dan masyarakat.

“Guru pula jangan lokek untuk berikan pujian dan senyuman kepada pelajar-pelajar ini, tak kira walau nakal mana sekalipun mereka, berilah harapan dan pujian untuk mereka kerana sokongan seperti ini mampu memberikan mereka motivasi dan membentuk keperibadian mulia satu hari nanti.

“Pakcik ingin anak di depan ini mempunyai personaliti yang hebat dan berjaya pada masa hadapan sebagai peguam, doktor, saintis, atlet sukan, jurugambar, wartawan, malah mungkin ada yang akan jadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Singgah Cakna Menteri Pendidikan bersama ‘Syukur Khamis Kampung Boy’ dan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin di sini, semalam.

Pelajar tingkatan dua yang popular setelah gambarnya bersama kerbau peliharaan ayahnya tular dalam media sosial itu diraikan bagai pahlawan Melayu dengan memakai songket hijau muda lengkap bertanjak pada majlis itu.

Selain Muhammad Syukur, turut diraikan dalam majlis bersama Menteri Pendidikan itu ialah murid Cina dari Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (SKTJ), Por Hui Ling, 12, yang memperolehi keputusan luar biasa apabila berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada tahun lepas.

Sementara itu, bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 63, berkata beliau terharu dengan penghargaan yang diberi oleh Menteri Pendidikan terhadap keunikan anak bongsunya itu dan berharap ‘keajaiban’ itu dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

“Setiap hari, kandang kerbau pok di Kampung Kubang Bujuk dikunjungi ramai orang yang mahu melihat aksi Syukur bersama haiwan peliharaan itu.

“Alhamdulillah, sejak kejayaan foto Syukur itu diiktiraf peringkat antarabangsa, banyak pihak ‘buka mata’ dengan keindahan suasana kampung yang masih terpelihara dari pencemaran di situ,” katanya yang dilihat begitu gembira dan sebak ketika memeluk Maszlee di atas pentas dalam majlis itu. — Bernama

Advertisement