Anda di sini

MIDA tarik pelabur sertai industri aeroangkasa Malaysia

Advertisement

FRANKFURT: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat menarik pelabur berpotensi untuk menyertai industri aeroangkasa, dengan menonjolkan peluang yang tersedia dalam negara.

Usaha ini berkait rapat dengan langkah untuk mengubah Malaysia menjadi penggiat utama aeroangkasa antarabangsa.

Yusri Hasnan Chu, pengarah MIDA yang berpangkalan di Frankfurt, berkata industri aeroangkasa Malaysia terus berkembang sejak tahun-tahun kebelakangan ini, daripada RM11.9 bilion pada 2013 kepada RM13.5 bilion pada 2017.

Beliau berkata ini menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Malaysia dalam industri berkenaan.

“Industri aeroangkasa mempunyai potensi pertumbuhan yang besar, yang mendorong kerajaan Malaysia mempromosi perkhidmatan aeroangkasa yang boleh ditawarkan oleh negara.

“Infrastruktur aeroangkasa Malaysia, dengan kemudahan pembuatan dan perkhidmatan yang maju, menjadi tarikan utama bagi penggiat asing,” katanya kepada Bernama di pejabatnya.

Mengikut Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, pendapatan daripada industri aeroangkasa akan meningkat kepada kira-kira RM55.2 bilion (AS$13.8 bilion) menjelang 2030, yang menyediakan kira-kira 32,000 peluang pekerjaan.

Justeru, pelan itu menetapkan sasaran untuk Malaysia menjadi negara ini sebagai hab aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara, dengan kedudukan yang kukuh dalam pasaran global.

Empat tunggak kekuatan industri aeroangkasa ialah dalam segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan aero, integrasi sistem dan perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk.

Beberapa syarikat aeroangkasa Malaysia seperti Strand Aerospace yang berpangkalan di Kuala Lumpur, merupakan penggiat utama dalam perkhidmatan aeroangkasa antarabangsa, yang memenuhi keperluan reka bentuk pembina pesawat antarabangsa utama.

Yusri berkata dua industri utama, aeroangkasa dan peranti perubatan, dikenal pasti sebagai segmen pertumbuhan tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-11 (2015-2020).

Menurut pejabat MIDA di Frankfurt, 107 projek diluluskan pada 2017 dengan bernilai pelaburan sebanyak €2.818 bilion (AS$3.37 bilion).

Selain manfaat langsung yang diperoleh daripada industri aeroangkasa, segmen lain yang menyediakan sistem sokongan kepadanya turut menerima kelebihannya.

Antara lain, pengeluar/pembekal perkakasan dan peralatan, peralatan tanah dan komunikasi, pengujian, rawatan permukaan, fabrikasi logam dan pemesinan berketepatan tinggi.

Yusri berkata manfaat yang ditawarkan kepada pelabur dalam industri aeroangkasa Malaysia, termasuk taraf perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus, atau 100 peratus selama lima hingga sepuluh tahun, elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus atau 100 peratus perbelanjaan modal yang layak untuk lima tahun, elaun pelaburan semula sebanyak 60 peratus ke atas perbelanjaan modal yang layak untuk 15 tahun berturut-turut, pengecualian duti import bagi bahan mentah/komponen dan mesin/peralatan.

Beberapa taman aeroangkasa penting seperti Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW Selangor, KLIA Aeropolis dan Subang Aerotech Park, serta Taman Penerbangan Lapangan Terbang Senai Johor dan Taman Teknologi Usajaya, dilihat sebagai tapak penting untuk aktiviti aeroangkasa.

Pengeluar pesawat Airbus, sedang menjalankan kajian daya maju selama 18 bulan mengenai penubuhan hab penerbangan dan meninjau Malaysia.

AirAsia Malaysia, yang menggunakan 250 pesawat Airbus dan membeli 100 unit pesawat A330neo, menjadi pelanggan terbesar Airbus. AirAsia kini merupakan syarikat penerbangan keempat terbesar di Asia.

Malaysia kini menempatkan lebih 200 syarikat aeroangkasa yang terdiri daripada penggiat industri antarabangsa dan tempatan. Ini termasuk 66 syarikat yang terlibat dalam aktiviti MRO, pembinaan aero (33), pendidikan dan latihan (25) dan integrasi sistem, serta kejuruteraan dan reka bentuk (11).

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan syarikat aeroangkasa Malaysia supaya menyertai pameran, persidangan dan acara perdagangan luar negara yang berkaitan dengan industri berkenaan.

Pengarah MATRADE Frankfurt, Badrul Hisham Hilal, berkata syarikat aeroangkasa Malaysia akan menyertai Pameran Udara Paris Antarabangsa pada Jun tahun ini.

“Ini merupakan acara aeroangkasa dan penerbangan penting.

Ia menarik semua pemggiat utama dalam pelbagai segmen industri aeroangkasa dan menyediakan platform yang baik untuk pemadanan perniagaan dan mesyuarat korporat,” katanya. — Bernama

Advertisement