Anda di sini

Gunung berapi meletus di pulau kecil di selatan Jepun

Advertisement
 Gambar video serahan ini daripada kamera web secara langsung Agensi Meteorologi Jepun pada Khamis menunjukkan letusan gunung berapi di Pulau Kuchinoerabu di Yakushima, daerah Kagoshima. — Gambar AFP
LETUSAN TERBAHARU: Gambar video serahan ini daripada kamera web secara langsung Agensi Meteorologi Jepun pada Khamis menunjukkan letusan gunung berapi di Pulau Kuchinoerabu di Yakushima, daerah Kagoshima. — Gambar AFP

TOKYO: Sebuah gunung berapi meletus di sebuah pulau kecil di selatan Jepun pada Khamis, kata agensi meteorologi negara itu, dengan mengeluarkan abu dan asap ke udara di atas kawasan yang tidak dihuni ramai penduduk itu.

Badan penyiaran awam NHK berkata belum ada laporan diterima mengenai kecederaan atau kerosakan daripada letusan gunung berapi di Pulau Kuchinoerabu, selatan Jepun.

Agensi itu berkata letusan itu berlaku pada jam 9.19 pagi waktu tempatan, sejurus selepas ia mengeluarkan amaran baharu.

“Letusan sudah berlaku di sana sejak tahun lepas tetapi kami mengeluarkan amaran (pada pagi tadi) untuk letusan terbaharu ini kerana ia akan memberi impak yang lebih luas,” kata Jun Fujimatsu, seorang pegawai di bahagian aktiviti gunung berapi dalam agensi meteorologi.

“Kami mengekalkan amaran tahap tiga yang bermakna larangan memasuki kawasan gunung berapi,” katanya kepada AFP.

“Terdapat beberapa kawah di gunung berapi itu. Zon bahaya adalah dua kilometer dari kawah Shindake,” tambahnya.

“Kami berpendapat letusan terbaharu tidak akan menyelubungi seluruh pulau.”

Imej yang disiarkan oleh NHK menunjukkan kepulan abu dan asap kelabu yang tebal ke udara di atas pulau terbabit, yang kerap terjejas akibat letusan.

Pada 2015, kesemua 140 penduduk di pulau itu ketika itu telah dipindahkan ekoran letusan kuat yang mengeluarkan awan hitam setinggi 9,000 meter dan menghasilkan gegaran gunung berapi selama lima minit.

Ia tidak segera jelas sama ada penduduk di pulau itu telah dipindahkan ataupun tidak pada Khamis.

Pihak berkuasa tempatan tidak dapat dihubungi segera bagi mendapatkan kenyataan.

Gunung berapi berkenaan kadang-kadang memaksa agensi untuk menaikkan amaran ke tahap lima yang tertinggi tetapi tiada petanda segera bahawa ia me-rancang untuk menaikkan tahap itu selepas letusan waktu pagi.

Jepun, dengan puluhan gunung berapi yang aktif, terletak di atas ‘Lingkaran Api’ Pasifik di mana sebahagian besar gempa bumi dan letusan gunung berapi di dunia direkodkan. — AFP

Advertisement