Anda di sini

GPS teruskan pembangunan sistem perhubungan pesisir

Advertisement
Julaihi (tengah) bersama tetamu kehormat lain mengibarkan bendera GPS.
Julaihi (tengah) bersama tetamu kehormat lain mengibarkan bendera GPS.

SADONG JAYA: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini bertanggungjawab sepenuhnya melaksanakan program perhubungan kawasan pesisir.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi berkata, ia melibatkan pembinaan jambatan bagi menggantikan kemudahan feri yang pembiayaannya ditangguhkan kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jambatan tersebut merangkumi Jambatan Rambungan, Jambatan Igan dan Jambatan Batang Lupar.

"Pada Oktober 2018 jumlah pengguna perkhidmatan Feri Triso (Batang Lupar) adalah sebanyak 23,000 pengguna meningkat kepada 45,000 pengguna pada Disember lalu.

"Justeru, ini membuktikan pembinaan jambatan ini amat diperlukan rakyat khususnya penduduk persisir yang mana jumlah pengguna di jalan pesisir kian meningkat saban hari," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran 'GPS Flag Rally' dan menyambut peserta Konvoi Jerayawara Bendera Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) di perkarangan Pekan Sadong Jaya di sini hari ini.

Ekoran itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau menegaskan, kerajaan negeri akan meneruskan pembinaan jambatan tersebut yang mana pada masa ini ia sedang dalam proses tender.

Tambahnya, kerajaan negeri turut bertanggungjawab membina jaringan jalan terputus dan menaiktaraf jalan pesisir sepanjang 896 km.

Malah, beliau menjelaskan, GPS yang dipimpin anak Sarawak cukup memahami latar belakang budaya dan boleh membuat keputusan tanpa terikat dengan kerajaan persekutuan.

Menurutnya lagi, GPS ditubuhkan tepat pada masanya bagi meneruskan perancangan dan pelaksanaan pembangunan di seluruh Sarawak.

"Keupayaan pemimpin GPS sudah terbukti kemampuannya dengan pengurusan kerajaan Sarawak berada pada tahap terbaik ketika ini," ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan tetamu kehormat lain.

Advertisement