Anda di sini

Fatimah: Peruntukan RM16 juta diagih kepada prasekolah berdaftar tahun ini

Advertisement
 Fatimah (dua kiri) menerima cenderahati daripada Dr Mornie disaksikan Marzuki (kanan) dan Hanizah.
PENGHARGAAN: Fatimah (dua kiri) menerima cenderahati daripada Dr Mornie disaksikan Marzuki (kanan) dan Hanizah.

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM16 juta tahun ini untuk diagihkan kepada prasekolah berdaftar di negeri ini.  

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, geran tersebut adalah bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran atau makanan seimbang.

Borang bagi permohonan geran tersebut katanya, akan dihantar kepada prasekolah berdaftar dalam masa terdekat.

“Geran khas Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) Sarawak ini merupakan peruntukan daripada kerajaan Sarawak.

“Geran ini akan diagihkan kepada 3,200 IPAKK iaitu RM5,000 bagi setiap institusi,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kelima Kolej SIDMA Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Fatimah menyatakan penghargaan kepada pihak Kolej SIDMA atas sumbangan dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak.

Katanya, kursus pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan oleh Kolej SIDMA telah melengkapi usaha institusi awam dan universiti kerajaan dalam membawa pendidikan kepada belia negara.

“Kerajaan Sarawak mengiktiraf kepentingan jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECEC) dengan mewujudkan Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak di bawah kementerian yang diwartakan pada Mei 2017 dan diluluskan pada 28 Jun 2018.

“ECEC adalah blok pembangunan bagi kejayaan masa depan setiap individu sama ada dalam bidang akademik mahupun sosial.

“Atas sebab itu, kerajaan meletakkan pelaburan, fokus, usaha dan sistem sokongan untuk menyediakan jagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti di Sarawak,” katanya.

Pada konvokesyen tersebut, Fatimah turut menyampaikan skrol kepada 205 graduan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari kolej tersebut.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Kolej SIDMA Dr Mornie Kambrie, Pengerusi Kolej SIDMA Sarawak Marzuki Umi dan Ketua Pegawai Kewangan Kolej SIDMA Sarawak Hanizah Mohidin.

Advertisement