Anda di sini

Dadah di sekolah digempur

Advertisement
 Sahar pada sidang media semalam.
TEGAS: Sahar pada sidang media semalam.

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak melancarkan operasi ke atas sekolah-sekolah di seluruh negeri dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar.

Demikian menurut Ketuanya, Superintenden Sahar Abd Latif susulan pengenalan baharu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang kini membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan di dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, sehingga semalam sahaja seramai empat individu disyaki pengedar dadah ditahan untuk siasatan lanjut.

“SOP ini yang terbaik kerana banyak prosedur terutama untuk mengendalikan pengedar dadah (di sekolah) ditambah baik dalam usaha kita mengenal pasti individu yang mengedar dadah kepada pelajar-pelajar.

“Setakat hari ini (semalam), kita telah tangkap empat suspek disyaki pengedar dadah, di mana seorang lagi masih dijejaki dan ini merupakan satu permulaan yang bagus,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini semalam.

Sahar berkata, pihaknya akan menjalankan ujian air kencing ke atas pelajar-pelajar sebagai tindakan seterusnya.

“Selain itu, ibu bapa yang mengesyaki atau mengetahui bahawa anak mereka terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah juga boleh tampil ke mana-mana balai polis untuk melaporkan kepada kita.

“Ibu bapa jangan risau, tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap anak-anak mereka, tetapi bukan ditangkap kerana sasaran sebenar kita adalah untuk menangkap pengedar dadah,” jelas Sahar.

Menurutnya, pada tahun lepas Sarawak mencatatkan jumlah pelajar yang positif dadah teramai iaitu 301 orang berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Pelajar-pelajar ini tidak salah kerana mereka sangat ‘fragile,’ tidak matang sehingga menjadi mangsa dan disebabkan itu, kita akan membantu mereka agar kita seterusnya dapat menangkap pengedar-pengedar dadah ini,” katanya.

SOP terbaharu tersebut adalah antara inisiatif Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Azman Yusof yang mahu kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini dibanteras sepenuhnya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut semalam ialah Timbalan Ketua JSJN Sarawak DSP Sekam Anoi

  • oleh
  • Advertisement