Anda di sini

‘Baju Bodo’ warisan Bugis makin diminati

Advertisement
 Model sambilan Senorita Wedding Planner, Siti Nur Ain Wardah Ahmad, 25, serta rakannya Hanaafi Saman, 32, tampak persis pasangan raja sehari apabila mengenakan Baju Bodo dan Jas Tutu sejenis pakaian perkahwinan tradisional masyarakat Bugis yang direka oleh anak jati Johor, Didie atau Khairul Fadzly Jamal dari Kampung Pak Musa, Pekan Nenas. — Gambar Bernama
TRADISIONAL: Model sambilan Senorita Wedding Planner, Siti Nur Ain Wardah Ahmad, 25, serta rakannya Hanaafi Saman, 32, tampak persis pasangan raja sehari apabila mengenakan Baju Bodo dan Jas Tutu sejenis pakaian perkahwinan tradisional masyarakat Bugis yang direka oleh anak jati Johor, Didie atau Khairul Fadzly Jamal dari Kampung Pak Musa, Pekan Nenas. — Gambar Bernama

‘BAJU Bodo’, mungkin namanya agak ganjil namun pakaian tradisional Bugis itu, kini semakin mendapat tempat di hati kalangan bakal pengantin yang inginkan kelainan.

Pereka fesyen, Khairul Fadzly Jamal, 37, banyak menerima tempahan Baju Bodo sejak mula mengetengahkan pakaian itu pada satu pameran pakaian pengantin setahun lalu.

“Baju Bodo adalah pakaian bagi pengantin perempuan, manakala pengantin lelaki pula memakai Jas Tutu, yang merupakan pakaian adat bagi lelaki Bugis.

“Saya berketurunan Bugis, semestinya bangga dengan warisan nenek moyang berkaitan adat dan pakaian tradisional. Baju Bodo adalah antara busana pengantin yang disediakan ibu (arwah) ketika mengandam pengantin,” kata pemilik butik Senorita Wedding Planner di Pekan Nanas, kira-kira 18 kilometer dari Pontian.

Meminati pakaian tradisional Bugis sejak usia enam tahun kerana sering mengikut ibunya mengandam pengantin, beliau memberitahu bahawa Baju Bodo adalah antara pencetus semangatnya untuk membuka butik dan ‘menyambung’ legasi perniagaan arwah ibunya.  

WARNA LAMBANG SI PEMAKAI

Mesra dengan panggilan ‘Didie’, anak jati Kampung Pak Musa, Pekan Nanas itu memberitahu bahawa idea membuka butik lahir ketika beliau masih bertugas sebagai eksekutif akaun di sebuah agensi kerajaan pada penghujung 2008.

“Sebenarnya, nama keluarga saya memang tidak asing dalam kalangan penduduk kampung kerana ibu dan nenek memiliki butik pakaian perkahwinan tradisional iaitu Andaman Ani yang beroperasi di rumah kami.

“Tapi butik itu terpaksa tamatkan operasi sekitar 2007 selepas berlaku kebakaran. Banyak koleksi pakaian terbakar,” katanya ketika ditemu bual Bernama.

Menjelaskan lanjut mengenai Baju Bodo, Khairul Fadzly berkata, pakaian itu berbentuk segi empat tanpa lengan yang kadangkala dihias manik dan renda serta dipadankan dengan lipa sabbe/lipa garusuk (kain sarung).

 Baju Bodo, mungkin namanya agak ganjil namun pakaian tradisional Bugis itu, kini semakin mendapat tempat di hati kalangan bakal pengantin yang inginkan kelainan. — Gambar Bernama
WARISAN: Baju Bodo, mungkin namanya agak ganjil namun pakaian tradisional Bugis itu, kini semakin mendapat tempat di hati kalangan bakal pengantin yang inginkan kelainan. — Gambar Bernama

Jas Tutu pula adalah baju berlengan panjang yang mempunyai kancing bersadur emas atau perak pada bahagian leher, juga dipakai dengan kain sarung.

Menurut beliau, ramai yang beranggapan busana itu mudah dihasilkan kerana rekaannya yang nampak ringkas namun sebenarnya tidak semudah yang disangkakan.

“Kain yang sesuai diperlukan untuk menjahit pakaian ini agar pengantin selesa memakainya, malah, pilihan warna juga penting kerana mengikut adat Bugis, warna tertentu melambangkan peringkat umur atau status si pemakai.

“Contohnya, warna hijau hanya dipakai oleh wanita bangsawan sementara warna ungu untuk golongan janda,” jelas beliau sambil menambah bahawa warna-warna lain termasuk kuning jingga, jingga, merah dan putih untuk umur atau golongan tertentu.

CIRI KEMEWAHAN

Berdasarkan sejarah, kata Khairul Fadzly, masyarakat Bugis Sulawesi yang terawal menggunakan kain muslin (tenunan daripada kapas dan benang), kain kasa atau sutera yang kebanyakannya diperolehi dari Makasar untuk menjahit kedua-dua pakaian itu.

“Disebabkan ada antara kain itu kini sukar diperolehi, saya menggunakan kain organza dan kain sutera Thai yang mudah didapati di Batam, Indonesia atau Thailand,” katanya lalu menambah bahawa dua hingga tiga bulan diperlukan untuk menyiapkan setiap pasang busana itu.

 

Pada majlis perkahwinan, Baju Bodo dan Jas Tutu hendaklah dipakai dengan sempurna dan digandingkan dengan pelbagai aksesori berwarna emas atau perak, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Tanpa perhiasan sesuai, seri pengantin dikatakan menjadi malap kerana tidak tampil mewah sepertimana adat perkahwinan masyarakat Bugis pada zaman dahulu.

“Masyarakat Bugis sinonim dengan ciri-ciri kemewahan. Jadi, pengantin perempuan seboleh-bolehnya mengenakan aksesori seperti mahkota yang dikenali sebagai ‘saloko’, sanggul atau pinang goyang, anting-anting panjang atau ‘bangkarak’, gelang tangan dan rantai besar atau ‘geno ma bule’,” jelas Khairul Fadzly.

Selain itu, dahi pengantin perempuan perlu dilukis dengan corak seakan-akan kelopak bunga teratai iaitu ‘paes dadas’.

Pengantin lelaki pula perlu memakai perhiasan seperti keris, tali pinggang, penutup kepala atau ‘passapu’, gelang, selempang atau ‘rante’ sembang atau ‘rantekote’.

PENGARUH MEDIA SOSIAL

“Alhamdulillah, sekarang bukan sahaja pasangan pengantin malah orang ramai juga menyewa busana pengantin sama ada tradisional atau moden untuk ke majlis-majlis tertentu. Butik kini semakin mendapat sambutan,  tidak seperti waktu mula beroperasi.

“Dulu, pernah butik saya langsung tidak dikunjungi seorang pelanggan pun untuk kira-kira dua bulan. Tetapi saya tak mudah putus asa,” katanya yang membuka butik itu pada pertengahan 2009.

Khairul Fadzly berterusan mempromosikan butiknya ke kawasan sekitar. Rakan-rakannya banyak memberi semangat dan cadangan agar mempromosi butik itu melalui media sosial.

“Sejujurnya saya tidak begitu arif menggunakan media sosial tapi kawan-kawan cakap saluran itu yang paling berkesan untuk sampaikan maklumat kepada orang ramai,” tambah beliau yang akhirnya membuka akaun butik Senorita di Facebook.

Keberaniannya untuk menyertai beberapa pameran di peringkat daerah dan negeri turut membantu menaikkan populariti butiknya.

“Saya paling puas hati ketika Baju Bodo dan Jas Tutu memenangi kategori Best Dress dan Best Accessories ketika menyertai Pameran Gala Seri Pesona Pengantin di Pusat Beli-belah Angsana, Johor Bahru pada Januari tahun lepas.

“Ïtu adalah hasil tunjuk ajar ibu dan nenek sejak saya kecil. Saya berbangga busana itu mendapat perhatian juri,” tambah beliau.

KAJI WARISAN BUGIS

Khairul berhasrat memperkenalkan dan memartabatkan pelbagai busana warisan Bugis dan pakaian tradisional lain termasuk masyarakat Johor Riau dan Pahang Riau.

Beliau yang berpendapat bahawa pengetahuan asas yang diperolehi sejak kecil masih belum mencukupi, ingin mengkaji dan mendalami latar belakang pelbagai busana tradisional agar dapat berkongsi pengetahuan dengan orang ramai terutamanya kalangan generasi muda keturunan Bugis.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Persatuan Bugis Negeri Johor Abdul Hadi Ambok Instang, 48, memuji Khairul Fazly yang sentiasa berusaha mempelajari selok-belok seni warisan masyarakat Bugis.

“Kami sentiasa menggalakkan anak-anak mengenakan pakaian warisan untuk majlis berinai atau bersanding sebagai usaha menghidupkan warisan agar tidak ditelan kemodenan,” tambah beliau. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement