Anda di sini

Tuntutan palsu: Dua pegawai FELDA direman lima hari

Advertisement
 Dua pegawai Felda di bawa ke Mahkamah Ipoh semalam, untuk mendapatkan tempoh reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja pembinaan dan bersubahat memperakukan kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka Felda Trolak Selatan, Sungkai, Ipoh. — Gambar Bernama
REMAN: Dua pegawai Felda di bawa ke Mahkamah Ipoh semalam, untuk mendapatkan tempoh reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja pembinaan dan bersubahat memperakukan kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka Felda Trolak Selatan, Sungkai, Ipoh. — Gambar Bernama

IPOH: Dua pegawai FELDA ditahan reman lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bagi bayaran kerja pembinaan dan bersubahat memperakukan kerja membina tembok penahan runtuhan rumah peneroka FELDA Trolak Selatan, Sungkai.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Hanum Mohmad Sah setelah menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kedua-dua suspek iaitu Penolong Pengarah di Ibu Pejabat FELDA berumur 39 tahun dan Pegawai Kanan FELDA Trolak berumur 33 tahun yang memakai baju lokap SPRM dibawa ke Mahkamah Ipoh pada jam 11 pagi semalam.

Kelmarin, seorang kontraktor dan eksekutif teknikal sebuah syarikat pengurusan hartanah ditahan reman empat hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pengarah SPRM Perak Datuk Zainul Darus kelmarin berkata tuntutan palsu itu dibuat sedangkan kerja-kerja yang dibuat tidak mengikut spesifikasi ‘Bill Of Quantity’ yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tender bernilai RM137,900.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2019. — Bernama

Advertisement