Anda di sini

Restoran masakan India terkenal dikompaun

Advertisement
 Mohd Ridzuan menunjukkan logo halal pada menu makanan sebuah restoran masakan India yang terletak di Little India semasa operasi penguatkuasaan di George Town, semalam. — Gambar Bernama
MENGELIRUKAN PELANGGAN: Mohd Ridzuan menunjukkan logo halal pada menu makanan sebuah restoran masakan India yang terletak di Little India semasa operasi penguatkuasaan di George Town, semalam. — Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Sebuah restoran masakan India yang terkenal di negeri ini dikenakan kompaun selepas didapati mempamerkan logo halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata restoran yang terletak di Little India itu meletakkan tanda halal berkenaan pada menu makanan untuk menarik pelanggan Islam.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati restoran berkenaan tiada sijil halal yang diiktiraf oleh JAKIM dan jelas melakukan kesalahan representasi yang boleh memperdaya atau mengelirukan pelanggan yang beragama Islam,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi penguatkuasaan di sini, semalam.

Operasi bersepadu tersebut turut melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP).

Mohd Ridzuan berkata sebuah lagi restoran nasi beriani yang terletak di kawasan Little India turut dikompaun kerana mempamerkan sijil pengesahan penyembelihan daripada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) di depan kaunter.

“Sijil pengesahan penyembelihan hanya boleh dikeluarkan kepada individu yang layak dan bukannya untuk dipamerkan di restoran atau mana-mana premis makanan dan ini boleh dikategorikan sebagai mengelirukan dan memperdayakan pelanggan Islam untuk makan di premis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua premis berkenaan telah dikompaun  oleh MBPP manakala KPDNHEP Pulau Pinang akan mengemukakan kes kepada timbalan pendakwa raya untuk ditimbang bagi tindakan seterusnya.

Mengulas mengenai operasi itu, Mohd Ridzuan berkata sebanyak 45 buah restoran telah diperiksa sepanjang operasi yang bermula 13 Jan lalu dengan empat dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk tiga tindakan kes bagi KPDNHEP Pulau Pinang dan 10 kompaun dikeluarkan oleh MBPP.

Beliau berkata antara kesalahan yang turut dikesan ialah kebersihan serta susun atur premis yang tidak mematuhi syarat-syarat pelesenan MBPP.

“Pemeriksaan ini dilakukan susulan kebimbangan para pengguna berkenaan ada premis makanan mempamerkan logo halal serta ayat-ayat suci al-Quran yang mendatangkan kekeliruan umat Islam dan memerlukan KPDNHEP untuk melakukan pemeriksaan,” katanya. — Bernama

Advertisement