Anda di sini

Rancangan bina 1 juta rumah mampu milik boleh dicapai

Advertisement

KUALA LUMPUR: Rancangan kerajaan untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun akan datang, boleh dicapai walaupun sukar,” kata seorang perunding hartanah.

Rancangan yang diumumkan baru-baru ini oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membina 100,000 unit rumah setahun, mulai tahun ini, akan membolehkan lebih ramai penduduk dalam kumpulan pendapatan B40 menjadi pemilik rumah.

Pengarah Urusan CBRE|WTW Foo Gee Jen Foo berkata, sasaran 100,000 rumah adalah praktikal dan realistik dari segi pembangunan tetapi kerajaan mesti terlebih dahulu membetulkan dasar perumahan.

“Saya yakin kerajaan baharu boleh mencapai rancangan ini kerana tujuannya lebih praktikal dan (rancangan itu) adalah dalam tempoh 10 tahun.

“Bagaimanapun, kita tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada sektor swasta kerana jika ia dipacu sepenuhnya oleh mereka, akan ada subsidi silang yang lebih besar oleh kumpulan pendapatan Pertengahan 40,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Prestasi Pasaran Hartanah Malaysia 2019 oleh CBRE|WTW di sini, semalam.

Foo berkata, rancangan perumahan yang mampu milik oleh kerajaan sebelum ini yang bertujuan untuk membina satu juta rumah dalam satu tempoh pilihan raya, hanya dapat mencapai kurang daripada 20 peratus sasaran.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan mengenai lokasi yang tepat bagi pembangunan rumah mampu milik ini untuk mengelak berulangnya masalah di Bukit Beruntung, Selangor, di mana beribu-ribu rumah kos rendah dibina tetapi terdapat hanya beberapa pembeli.

“Untuk projek itu berdaya maju, infrastruktur di sekitar kawasan pembangunan berkenaan mestilah betul,” kata Foo, sambil menambah bahawa setiap wakil yang dipilih ketika itu memperjuangkan keperluan perumahan pengundi mereka dan mahu rumah mampu milik dibina di kawasan masing-masing.

“Malangnya, ketiadaan infrastruktur yang telah siap menjadikan rumah siap dibina tidak dapat diterima (oleh pembeli),” tambahnya. — Bernama

Advertisement