Anda di sini

Pendekatan inklusif beri sumbangan kepada institusi pendidikan, kata Lim

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil pendekatan inklusif dalam mempertimbangkan sumbangan kepada institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan persekutuan berusaha membantu sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan mengikut kemampuan kewangan semasa.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Lim membidas tindakan sesetengah pihak yang memainkan sentimen perkauman dalam isu peruntukan kepada institusi pendidikan Cina seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Kolej Universiti New Era baru-baru ini.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sebelum ini juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) yang berstatus institusi pendidikan tinggi swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.

Lim berkata kerajaan Pakatan Harapan mengamalkan dasar keterangkuman dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM652 juta untuk menaik taraf dan menyelenggara semua kategori sekolah dalam Belanjawan 2019 berbanding RM615 juta dalam Belanjawan 2018.

Peruntukan Belanjawan 2019 itu termasuk RM12 juta yang disampaikan kepada SMPC pada Jumaat lepas dan RM25 juta untuk sekolah pondok yang diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada 8 Jan lepas, di mana peruntukan sedemikian tidak disediakan dalam Belanjawan 2018, katanya.

Menurut Kementerian Pendidikan, terdapat 151 Sekolah Pondok Berdaftar melibatkan 10,723 murid dan 107 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dengan seramai 24,651 murid, katanya.

“Dengan itu, seramai 35,364 orang murid Sekolah Pondok dan SMAR akan mendapat manfaat sebanyak RM707 seorang.

“Bagi kategori SMPC, terdapat 62 buah sekolah dengan bilangan 84,462 orang murid. Maka, setiap murid SMPC mendapat manfaat sebanyak RM142,” katanya.

Lim berkata adalah mengecewakan apabila pihak-pihak tertentu masih memainkan isu perkauman dalam konteks pendidikan dan perbuatan itu tidak sihat kerana ia akan menafikan peluang menyediakan pendidikan yang inklusif dan juga membantut usaha mencapai kecemerlangan.

“Sebagai sebuah pentadbiran yang benar-benar inklusif, kerajaan Pakatan Harapan berharap rakyat boleh bersama komited menyokong agenda pendidikan yang cemerlang untuk semua, demi membantu pembangunan ekonomi,” katanya.

Pada Sabtu lepas, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin melalui laman Facebooknya mempersoalkan tindakan kerajaan menyerahkan bantuan kepada Kolej Universiti New Era yang menurutnya Belanjawan 2019 hanya menyebut mengenai dana kepada sekolah persendirian Cina.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan pada Ahad menjelaskan bahawa peruntukan khas tersebut adalah daripada Kementerian Kewangan dan kementerian itu tidak mempunyai peruntukan kewangan untuk kolej swasta daripada dana yang disediakan kepadanya melalui Belanjawan 2019. — Bernama

Advertisement