Anda di sini

Parlimen Venezuela gesa pegawai kerajaan, tentera sertai usahanya singkir Maduro

Advertisement

CARACAS: Dewan Negara Venezuela yang dikuasai pembangkang tetapi tidak berkuasa mempertingkatkan pertarungannya dengan Presiden Nicolas Maduro pada Selasa dengan menawarkan pengampunan am kepada sesiapa sahaja daripada angkatan tentera yang menyertainya untuk menolak pemimpin sosialis itu.

“Undang-undang pengampunan am” akan dilanjutkan juga kepada pegawai kerajaan awam yang bekerjasama “dalam usaha untuk memulihkan ketertiban perlembagaan”, kata parlimen.

“Kami sedang berbincang dengan tentera berpangkat rendah dan pertengahan: tinggalkan ketakutan itu,” kata presiden parlimen, Juan Guaido, yang pada minggu lepas melabel Maduro seorang “perampas”.

Perbalahan antara dewan perundangan dengan Maduro sudah meningkat sejak pemimpin sosialis itu meng-angkat sumpah pada minggu lepas untuk penggal kedua sebagai presiden di negara yang dilanda krisis itu, selepas beliau memenangi pilihan raya tergempar pada Mei lalu yang dipulaukan oleh pembangkang dan ditolak oleh Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Negara-Negara Amerika (OAS) sebagai satu penipuan.

Guaido ditahan seketika Ahad lepas oleh ejen badan perisikan tetapi Maduro mendakwa Isnin lepas bahawa insiden itu telah dirancang oleh pembangkang bersama pegawai penyangak yang menurutnya sudah dipecat.

Beliau juga berikrar: “Saya tidak akan gentar di depan sesiapa pun!”

Maduro mempunyai soko-ngan barisan kepimpinan angkatan tentera.

Ketika Dewan Negara meng-adakan persidangan, beliau muncul di sebuah stesen radio dan televisyen bersama menteri pertahanan, Jeneral Vladimir Padrino.

“Kami bersedia untuk mati, seperti apa yang kami ikrar, untuk mempertahankan perlembagaan,” kata Padrino.

“Rakyat menjadikan anda majistret tertinggi dan presiden berperlembagaan.”

Maduro mengangkat sum-pah Khamis lalu di Mahkamah Agung dan bukan dalam Dewan Negara, seperti yang ditetapkan di dalam perlembagaan Venezuela.

Dewan perundangan itu dibiarkan tanpa kuasa oleh Maduro selepas beliau hilang kuasa dalam Dewan Negara dalam pilihan raya parlimen pada 2016.

Maduro dengan cepat me-lantik penyokong setia ke Mahkamah Agung, yang pada 2017 melucutkan kuasa parlimen. — AFP

Maduro kemudian mewujudkan Dewan Pengundi untuk menggantikan parlimen, dan badan baharu itu seterusnya mengisytiharkan diri sebagai cabang tertinggi dalam kerajaan.

Bagaimanapun Guaido menegaskan perlembagaan Venezuela memberikan kuasa kepadanya untuk memegang kuasa sebagai sebahagian daripada kerajaan peralihan dan menggesa rakyat dan angkatan tentera untuk menunjuk perasaan di jalanan bagi menyokong tindakan sedemikian.

Beliau mengumumkan protes besar-besaran pada 23 Januari.

Bagaimanapun Maduro memberi amaran “mahkamah akan melaksanakan segalanya”.

Dalam satu perbualan telefon dengan Guaido, Naib Presiden AS, Mike Pence, mengulangi pendirian Washington bahawa Dewan Negara adalah “satu-satunya badan demokratik yang sah” di Venezuela, kata Rumah Putih.

Pence menambah, matlamat AS – yang mengenakan sekatan ke atas pegawai Venezuela – “adalah untuk memulihkan demokrasi kepada Venezuela menerusi pilihan raya yang bebas dan adil, dan menamatkan krisis ekonomi dan kemanusiaan yang luar biasa”.

Beliau menggalakkan Guaido “untuk membina perpaduan di kalangan kumpulan politik”, kata Rumah Putih.

Maduro dipersalahkan ramai pihak bagi krisis ekonomi di Venezuela, yang memaksa jutaan warganya untuk meninggalkan negara itu di mana makanan asas dan ubat-ubatan adalah sedikit, dan hiperinflasi dianggarkan mencecah 10 juta peratus pada 2019, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Beliau menuduh Washington menggalakkan kudeta di negaranya. — AFP

Advertisement