Anda di sini

Kekejian terhadap anak saudara, lelaki dipenjara dan disebat

Advertisement
 Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan seksual.
HUKUMAN SETIMPAL: Tertuduh (kiri) dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan seksual.

SIBU: Mahkamah Sesyen di sini semalam menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan empat sebatan terhadap seorang penganggur atas tuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap anak saudaranya yang baharu berusia lapan tahun.

Tertuduh, 45, dijatuhkan hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 14(d), Akta Kesalah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dihukum mengikut Seksyen 14, akta yang sama.

Seksyen 14 ini memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia menghidap penyakit batuk kering (TB) dan mempunyai ketumbuhan di bawah dada kanan.

Tertuduh juga mendakwa telah menyesal dengan perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal serta sebatan sebagai pengajaran terhadapnya serta yang lain.

Ini kerana katanya, tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang masih muda.

“Berdasarkan kenyataan mangsa jelas menunjukkan mangsa tidak mengetahui kesan dan akibat daripada tindakan yang dilakukan oleh tertuduh terhadapnya.

“Meskipun telah berusia 45 tahun serta menghidap penyakit batuk kering dan ketumbuhan di bawah dada kanan, ini tidak menghalang tertuduh daripada melakukan perbuatan keji terhadap mangsa,” ujarnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Kerangan pada Disember lepas.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Januari, 2019, kira-kira jam 12 tengah hari, pengadu yang juga ibu mangsa dimaklumkan ibu mentuanya bahawa tertuduh telah melakukan perbuatan keji terhadap mangsa.

Pengadu lantas membuat laporan polis dan membawa kepada penahanan tertuduh pada 8 Januari 2019, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Siasatan mendapati tertuduh tinggal bersama keluarga mangsa bagi menjaga mangsa dan adiknya sementara ibu mereka bekerja semasa musim cuti sekolah.

Pada 4 Januari 2019, mangsa menceritakan apa yang berlaku kepada nenek tirinya, yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada ibu mangsa.

Ketika kejadian sekitar bulan Disember, tertuduh meminta mangsa mengurut badannya.

Selepas mengurut, tertuduh meminta mangsa untuk berbaring sebelum menanggalkan baju serta seluar mangsa.

Tertuduh kemudian melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa serta memberi amaran kepadanya agar tidak menceritakan perkara itu kepada ibunya.

Advertisement