Anda di sini

Kekayaan Sarawak akan dikongsi bersama rakyat: KM

Advertisement
 Abang Johari (empat kiri) dan Juma’ani (lima kiri) bergambar bersama bayi dan ibu bapa masing-masing yang menerima sijil EFS, semalam.
UNTUK KENANGAN: Abang Johari (empat kiri) dan Juma’ani (lima kiri) bergambar bersama bayi dan ibu bapa masing-masing yang menerima sijil EFS, semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kekayaan Sarawak khususnya hasil daripada pelaksanaan cukai jualan ke atas produk-produk petroleum akan dikongsi bersama rakyat negeri ini.

Beliau berkata, bermula tahun ini cukai jualan sebanyak lima peratus dikenakan ke atas produk-produk petroleum yang dihasilkan di Sarawak dalam usaha meningkatkan lagi pendapatan negeri.

“Kerajaan pimpinan saya, ‘Team’ saya melaksanakan cukai lima peratus ke atas hasil minyak dan gas dikeluarkan di Sarawak. Ini adalah hak Sarawak seperti termaktub di dalam perlembagaan.

“Pendapatan yang banyak hasil pelaksanaan cukai jualan ini boleh dimanfaatkan oleh rakyat menerusi dasar sosial baharu, antaranya dana tempoh tetap dikenali Endowment Fund Sarawak berjumlah RM1,000 bagi setiap kelahiran anak Sarawak bermula tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penyampaian Endowment Fund Sarawak (EFS) di sebuah hotel di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 55 bayi yang lahir pada 1 hingga 7 Januari 2019 dari sekitar Kuching menerima secara simbolik sijil EFS masing-masing.

Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan memperkenalkan lebih banyak dasar sosial berbanding sekarang sekiranya Sarawak mencatatkan peningkatan jumlah pendapatan memberangsangkan.

“Ini kerana saya percaya dalam Islam dan saya rasa agama-agama lain, kemewahan dan kekayaan adalah aset semua insan, anda hanyalah pemegang amanah kepada kekayaan itu kerana ia adalah milik Tuhan.

“Sudah menjadi niat saya, kalau kita melaksanakan cukai jualan lima peratus, hasilnya saya mahu kongsikan dengan anak-anak Sarawak,” ujarnya.

Mengenai EFS, Abang Johari berkata, ia merupakan pendekatan baharu kerajaan negeri dalam dasar sosialnya untuk membantu rakyat.

“Hari ini (semalam) amat penting kerana menandakan buat pertama kalinya kita (kerajaan negeri) memberi sumbangan RM1,000 dalam bentuk Endowment Fund  kepada setiap bayi yang lahir bermula tahun ini,” katanya.

Abang Johari berkata, tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan RM40 juta untuk dana pembiayaan itu.

“Berdasarkan purata statistik kelahiran di Sarawak, tahun ini 40,000 kelahiran baharu bakal direkodkan, maknanya kita memerlukan RM40 juta untuk EFS,” katanya.

Menurutnya lagi, EFS diberikan sebagai dana pembiayaan yang boleh digunakan bagi menampung kos pendaftaran serta perbelanjaan awal penerima apabila mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagi yang tidak dapat melanjutkan pengajian ke IPT katanya, dana itu boleh digunakan sebagai modal permulaan perniagaan atau bidang-bidang lain yang dipilih penerima apabila mereka berusia 18 tahun.

“Umur 18 tahun adalah penting, kalau mereka masuk universiti kekangan yang sering dihadapi khususnya penduduk luar bandar ialah perbelanjaan awal anak-anak ke universiti.

“Sebab itulah, kita mesti mempunyai dasar baharu, anak-anak diberi bantuan kewangan sebaik mereka lahir dan dalam masa 18 tahun menerusi kaedah yang ada, RM1,000 ini boleh bertambah sehingga RM3,000.

“Wang ini nanti boleh digunakan untuk membayar kos pendaftaran atau perbelanjaan awal masuk universiti dan bagi yang tidak dapat melanjutkan pengajian, wang ini mereka boleh gunakan sebagai modal memulakan perniagaan,” jelasnya.

Abang Johari berkata, pemberian EFS kepada kelahiran anak Sarawak akan diteruskan selagi beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Beliau juga berkata, jumlah EFS yang diberikan pada tahun hadapan akan ditambah sekiranya pendapatan negeri meningkat.

“Selagi saya menjadi Ketua Menteri, hasil kekayaan Sarawak akan diberi balik kepada rakyat supaya rakyat dapat hidup dengan masa depan yang lebih cerah.

“Kalau pendapatan negeri bertambah, tunggulah saya akan umumkan (berita baik) pada hujung tahun ini, tapi semuanya bergantung kepada pendapatan kita,” katanya.

Di bawah inisiatif EFS, setiap anak daripada kedua-dua ibu bapa warganegara Malaysia, pemegang MyKad berstatus ‘K’ yang lahir di Sarawak layak mendapat dana tersebut secara automatik, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosioekonomi, asalkan pendaftaran dibuat dalam tempoh setahun selepas kelahiran.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dan Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

  • oleh
  • Advertisement