Anda di sini

Geng ‘Lakia Teck’ tumpas

Advertisement
 Lim (tiga kiri) menunjukkan sebuah kenderaan 4WD yang disamun kumpulan sindiket ini yang berjaya ditemui semula di Long Lama.
DICURI: Lim (tiga kiri) menunjukkan sebuah kenderaan 4WD yang disamun kumpulan sindiket ini yang berjaya ditemui semula di Long Lama.

MIRI: Polis berjaya melumpuhkan sindiket samun dan curi kenderaan dengan penahanan empat lelaki tempatan yang dipercayai anggota kumpulan dikenali sebagai ‘Lakia Teck’ dan merampas lapan kenderaan bernilai kira-kira RM200,000.

Tiga suspek yang ditangkap di sekitar bandar raya Miri dan seorang di Long Lama pada 4 dan 5 Januari lalu masing-masing berusia dalam lingkungan 28 hingga 48 tahun.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, setakat ini polis berjaya menemui semula lapan kenderaan di kawasan Long Lama yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

“Kumpulan ini telah ditumpaskan dengan tangkapan empat penjenayah yang terlibat dengan kes samun kenderaan, curi kenderaan serta pecah rumah dan curi kenderaan.

“Suspek membawa kenderaan yang disamun dan dicuri ini ke kawasan pedalaman untuk dijual dan digunakan di sana,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di sini, semalam.

Antara lapan kenderaan yang berjaya ditemui semula ialah dua lori, dua kereta, sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV), sebuah van, sebuah pacuan empat roda (4WD) dan sebuah motosikal.

“Kita percaya masih ada lagi kereta-kereta lain yang belum ditemui serta ada saki baki suspek yang belum ditangkap. Siasatan polis masih lagi berterusan.

“Sindiket ini kita pernah tangkap dulu dan sudah menerima hukuman, bagaimanapun mereka kembali mengulangi kesalahan sama.

“Siasatan awal kami mendapati mereka ini sudah beroperasi lebih kurang dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Menurutnya, dalam rampasan terbabit, polis menemui sebuah van yang telah dibakar.

“Kemungkinan kenderaan itu tidak laku di pasaran sana, jadi mereka ini telah mengambil komponen dalaman van itu sebelum membakarnya,” ujarnya.

Lim berkata, pihaknya percaya ini adalah antara kejayaan besar polis Miri dalam menumpaskan sindiket samun dan curi kenderaan apabila lapan kes berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya anggota kumpulan terbabit.

Kesemua suspek yang masih direman disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Hadir sama pada sidang media semalam ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri DSP Lee Swee Sake.

  • oleh
  • Advertisement