Anda di sini

BN Pahang sedia mendedahkan jumlah perbelanjaan PRK Cameron Highlands

Advertisement
 Wan Rosdy menyampaikan sijil dan hadiah kepada pelajar cemerlang yang berkerusi roda Puteri Aleeya Balqis Mohd Azrin, 13, pada Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR 2018 di Raub semalam. — Gambar Bernama
TAHNIAH: Wan Rosdy menyampaikan sijil dan hadiah kepada pelajar cemerlang yang berkerusi roda Puteri Aleeya Balqis Mohd Azrin, 13, pada Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR 2018 di Raub semalam. — Gambar Bernama

RAUB: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, parti itu bersedia mendedahkan perbelanjaannya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands selepas pilihan raya selesai.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang yakin calon BN, Ramli Mohd Nor tidak mempunyai masalah untuk membentangkan belanjawan sepanjang tempoh itu

“Kita akan bentang menurut apa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)... tiada ada yang nak diselindungkan atau disembunyikan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pe-nyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR 2018 Parlimen Raub, di sini semalam.

Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Datuk Aziz Kiram yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  Batu Talam dan Pengurus Besar Yayasan Pahang Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Wan Rosdy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang yang melontar cabaran sama ada BN bersedia mendedahkan perbelanjaan parti sepanjang kempen PRK berkenaan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu membuat kenyataan tersebut selepas penularan beberapa keping gambar yang menunjukkan seorang petugas parti Pakatan Harapan memberikan wang kepada Orang Asli yang bertugas pada proses penamaan calon di Tanah Rata, 12 Januari lalu.

Wang itu dilapor diberikan sebagai membayar semula wang minyak motosikal seramai 60 Orang Asli yang hadir pada hari berkenaan dengan masing-masing menerima RM20.

Mengulas lanjut tentang perkara itu Wan Rosdy berkata: “Kita yakin pengundi bijak menilai dan melihat apa yang berlaku.” — Bernama

Advertisement