Anda di sini

36 nelayan Vietnam dipenjara 14 bulan

Advertisement
KESEMUA nelayan warga asing yang diiringi anggota polis untuk dihantar ke Penjara Pusat Kepayan bagi menjalani hukuman penjara.
KESEMUA nelayan warga asing yang diiringi anggota polis untuk dihantar ke Penjara Pusat Kepayan bagi menjalani hukuman penjara.

KOTA KINABALU: Seramai 36 nelayan warga asing masing-masing dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan melibatkan Akta Perikanan.

Hakim Indra Ayub menjatuhkan hukuman itu terhadap kesemua individu berumur 15 hingga 57 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan melalui jurubahasa.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua individu dipenjara tujuh bulan atas kesalahan menangkap ikan tanpa permit sah mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 setiap seorang dalam kes pemilik atau tuan, dan RM100,000 dalam kes setiap anggota kru.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dipenjara tujuh bulan kerana menggunakan pengenalan tidak sah ke atas kapal mereka, mengikut Seksyen 14 (3)(b) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) akta yang sama.

Mereka yang berasal dari Vietnam itu ditangkap ketika berada dalam lima kapal yang berlainan di perairan Tanjung Nosong, Kuala Penyu pada 25 Ogos 2018.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan serentak dari tarikh tangkapan mereka dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Indra turut memerintahkan kapal yang digunakan kesemua tertuduh dikembalikan kepada pemilik asal.

Semasa rayuan, peguam Dato 'Sri Rakhbir Singh mewakili kesemua tertuduh memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman penjara singkat kerana kesemua tertuduh tidak mempunyai wang untuk membayar denda.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Nurun Nazifah Muhamad Iyen menegaskan bahawa kesalahan itu serius dan boleh mengancam keselamatan negara.

  • oleh
  • Advertisement