Anda di sini

Pemindahan kubur bermula

Advertisement
 Penduduk bersama pegawai JAIS melihat keadaan tanah perkuburan Kampung Semarang yang terhakis teruk.
HAKISAN TERUK: Penduduk bersama pegawai JAIS melihat keadaan tanah perkuburan Kampung Semarang yang terhakis teruk.

KUCHING: Kerja-kerja memindahkan kubur yang terjejas akibat hakisan tanah teruk di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semarang, Pusa, Saribas bermula semalam.

Penghulu Sardon Sebli berkata, sebagai permulaan tiga kubur yang berada dalam keadaan kritikal telah dipindahkan ke tapak perkuburan baharu terletak di sebelah laut Kampung Semarang.

“Hari ini (semalam) kerja-kerja pemindahan kubur rosak kritikal dengan tulang-tulang (manusia) terkeluar dilakukan, tiga dan selebihnya akan dilakukan secara berperingkat oleh waris,” katanya ketika dihubungi semalam.

SARDON
SARDON

Turut hadir ketika Sardon dihubungi Utusan Borneo ialah Ketua Kampung Semarang Suria Azmie dan Ketua Kampung Spinang Musa Zain.

Sardon berkata, kerja-kerja pemindahan tiga kubur berkenaan dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Semarang dan Spinang serta dihadiri pegawai-pegawai dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Kuching dan Betong.

Beliau berkata, tapak perkuburan Islam di Kampung Semarang itu merupakan tapak perkuburan asal bagi penduduk Kampung Semarang dan Spinang yang telah digunakan sejak tahun 1970-an.

Kini katanya, tanah perkuburan tersebut tidak lagi digunakan selepas tapak perkuburan baharu seluas 24 ekar mula dibuka pada 5 Februari 2017.

“Bagi jangka masa pendek, kita akan mendirikan benteng konkrit di sepanjang tebing menggunakan wang peruntukan daripada Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Ahli Parlimen Batang Lupar) dan YB Razaili Gapor (Ahli Dewan Undangan Negeri Beting Maro).

“Benteng ini bertujuan menahan kayu atau apa-apa sahaja hanyut ke laut… Kampung kami memang terletak di tepi laut, kejadian seperti ini tidak dapat dielak, hakisan akan berlaku setiap kali air pasang terjadi,” jelasnya.

Menjelas lanjut, Sardon berkata, sebelum ini wujud kekeliruan dalam kalangan waris berhubung pemindahan kubur kerana mereka dimaklumkan terlalu banyak prosedur dan melibatkan kos sekitar RM2,000 bagi sebuah kubur.

Namun demikian katanya, langkah JAIS membenarkan waris memindahkan kubur ahli keluarga masing-masing mengikut hukum-hakam darurat membolehkan proses pemindahan dilakukan secara lebih ringkas.

 Kelihatan Tanah Perkuburan Islam dan Masjid Kampung Semarang yang semakin hampir ditelan laut.
KE LAUT: Kelihatan Tanah Perkuburan Islam dan Masjid Kampung Semarang yang semakin hampir ditelan laut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bating Maro Razaili Gapor ketika dihubungi berkata, isu tanah perkuburan di Kampung Semarang itu telah berlaku sejak lapan tahun lalu.

“Sudah hampir lapan tahun kerajaan cuba menangani isu ini, pertama tanah perkuburan dan kedua masjid.

“Kita bersyukur kerana sudah ada jalan penyelesaian walaupun mengambil masa. Tapak perkuburan baharu telah diwujudkan bagi kegunaan penduduk Kampung Semarang, Kampung Spinang, Kampung Melebu termasuk Maludam,” katanya.

Mengenai pembinaan Masjid Kampung Semarang yang baharu, beliau berkata kerja-kerja pembinaan projek bernilai RM2.5 juta itu akan bermula bulan depan.

“Masjid ini akan dibina di tapak terletak di antara Kampung Semarang dan Melebu, sebelah darat jalan pesisir,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Razaili berkata langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi mengelak kesan hakisan ombak ke atas Kampung Semarang.

“Asalnya Kampung Semarang terletak jauh dari tebing sungai tetapi disebabkan kadar hakisan memang tinggi, kini saya rasa kampung ini mungkin 100 meter lagi ‘terjun’ sungai,” katanya.

​​​​​​​- Gambar sumbangan Penghulu Sardon Sebli dan penduduk kampung

  • oleh
  • Advertisement