Anda di sini

Musa Aman perlu serah semula pasport kepada mahkamah, tiada rawatan luar negara

Advertisement
Musa perlu memulangkan semula pasport beliau kepada Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman perlu memulangkan semula pasportnya kepada Mahkamah Sesyen selepas Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan arahan Mahkamah Rendah yang membenarkan beliau mendapatkan semula pasport sementaranya untuk mendapatkan rawatan di Singapura dan London.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaraya agar dikaji semula perintah itu yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob yang membenarkan Musa, 68, dibebaskan pasport antarabangsanya daripada ditahan bagi membolehkan beliau mendapatkan rawatan ke luar negara.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaini berkata adalah tidak dipertikaikan bahawa Musa mengalami beberapa penyakit sebaliknya koronori semulajadi sahaja di samping tiada cadangan oleh tertuduh yang beliau hanya boleh dirawat di Singapura dan United Kingdom, London sahaja.

“Isu berkaitan di sini ialah sama ada beliau perlu diberi kebebasan untuk mendapatkan rawatan dan ujian di luar negara. Tidak terdapat cadangan oleh tertuduh bahawa beliau hanya boleh dirawat di Singapura dan United Kingdom. Ia bergantung kepada beliau untuk menunjukkan bahawa dia memerlukan perhatian perubatan khas yang mana tidak terdapat di negara ini.

“Pada fikiran saya, tertuduh hanya mahu dirawat oleh doktor pilihan beliau. Andaiannya ialah beliau boleh dirawat dalam negara dan penyakit yang dialaminya boleh dirawat oleh doktor dalam negara. Malahan surat-surat yang dikemukakan dalam afidavit menunjukkan rumusan yang sama,” katanya.

Hakim berkenaan seterusnya berkata, dalam melaksanakan semakan kuasa, beliau sepatutnya berpuashati dengan pembetulan, perundangan atau kewajaran perintah yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen dan isu utamanya ialah pembetulan kepada perintah berkenaan.

Mohd Zaini berkata, perintah yang dibuat itu tidak betul kerana pada pandangan beliau, hakim Mahkamah Sesyen telah gagal untuk menghargai sepenuhnya kenyataan itu.

“Kenyataan bahawa pasport beliau (Musa) diarah supaya diserahkan apabila jaminan kali pertama ditetapkan, bermakna beliau adalah satu risiko untuk melakukan penerbangan, dan ada keperluan untuk membendung kebebasan pergerakan untuk penerbangan di luar negara,” katanya bagi pembatalan arahan Mahkamah Sesyen itu.

Hakim itu turut menjelaskan bahawa mengikut kes-kes lepas bahawa kebebasan pergerakan seseorang tertuduh yang menghadapi tuduhan jenayah adalah terikat, lebih-lebih lagi apabila pertuduhan adalah serius seperti kes yang ini.

 “Perlu ada syor sebab yang menyakinkan, sebelum tertuduh boleh dibenar ke luar negara. Ini tidak berlaku dalam kes ini.

Oleh itu saya mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen bertarikh 7 Januari, 2019. Namun syarat bagi jaminan asal akan dikekalkan,” katanya.

Dengan perintah ini, Musa perlu memulangkan semula pasport beliau kepada Mahkamah Sesyen hari ini.

Timbalan pendakwaraya awam, Datuk Salim Shoib mewakili pendakwaan manakala peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri mewakili Musa.

Semalam, Salim memohon kepada Mahkamah Tinggi agar mengkaji semula keputusan Mahkamah Sesyen pada 7 Januari, yang membenarkan permohonan Musa agar pasportnya tidak ditahan untuk membolehkan beliau mendapatkan rawatan ke London.

Salim dalam hujahnya berkata asas untuk mendapatkan rawatan di luar negara yang digunakan oleh Musa, bagi diserahkan pasport adalah bukan sesuatu yang istimewa, tidak kukuh dan tidak memaparkan kecemasan.

Pada 7 Januari, Rozina membenarkan permohonan Musa bagi pasportnya tidak ditahan dari 15 Januari hingga 10 Februari dengan syarat ahli politik Sabah itu akan hanya boleh pergi ke Singapura dan London sahaja.

Beliau juga memberi arahan agar Musa memulangkan semula pasportnya selewat-lewatnya pada 11 Februari dan menambah kata, jaminan itu pula diperlukan sebagai akuan kepada tertuduh dan bagi mengetahui di mana dia berkata dalam tempoh itu.

Pada 5 November 2018, Musa minta dibicarakan atas 35 pertuduhan rasuah membabitkan US$63.3 juta (RM263 juta) melibatkan kontrak konsesi balak di Sabah. Dia dibenar ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.  - Bernama

Advertisement