Anda di sini

MBR tampil salur bantuan kepada mangsa kebakaran

Advertisement
UDA (dua, kanan) menyampaikan sumbangan berupa wang poket dari MBR kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih.
UDA (dua, kanan) menyampaikan sumbangan berupa wang poket dari MBR kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih.

KOTA KINABALU: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) tampil menghulurkan bantuan berupa wang poket kepada mangsa kebakaran rumah di Kampung Pasir Putih Putatan, Penampang, di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi MBR Haji Yahamad Haji Budin kepada Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Haji Uda Sulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas untuk diagihkan kepada 76 ketua keluarga mangsa kebakaran.

Pada masa sama, Uda merakamkan penghargaan dan ucap terima kasih kepada semua penderma dan penyumbang atas keprihatinan terhadap golongan terbabit. 

Katanya, sumbangan yang dikumpul itu sudah pasti sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa -mangsa kebakaran.

Sementara itu, Yahamad mewakili Pengerusi MBR  Datuk Haji Jamal Tun Haji Sakaran berkata, MBR sentiasa memberi kerjasama dan komited dalam lingkungan kemampuan institusi itu dalam menghulur sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

Pada Jumaat lepas,  lebih 50 rumah setinggan di Kampung Pasir Putih Putatan musnah terbakar yang melibatkan 329 penghuni daripada 76 keluarga. 

Kesemua mangsa yang hilang tempat tinggal itu kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Putatan.

  • oleh
  • Advertisement