Anda di sini

Tiga lelaki didenda RM100,000 miliki rokok seludup

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Tiga lelaki termasuk seorang warga asing masing-masing dikenakan denda RM100,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan berasingan memiliki rokok seludup.

Herman Mohd Tahir, 34, dan Mohd Yasil Paisal, 18, dan Bahar (tiada dokumen diri) mengaku salah di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, Herman memiliki rokok pelbagai jenama bernilai RM77.60 pada 8 Januari tahun ini, jam 11.05 pagi di tingkat 3, bilik persalinan lelaki dekat sebuah hotel di sini.

Mohd Yasil pula, memiliki rokok pelbagai jenama bernilai RM74.88 pada 10 Januari tahun ini, jam 11.10 pagi di kaki lima Kampung Air, dekat sini.

Manakala, Bahar didapati memiliki rokok pelbagai jenama bernilai RM46.60 pada 8 Januari, jam 7.45 pagi di sebuah premis kedai runcit di Sadong Jaya, dekat Karamunsing.

Untuk itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, hukuman memperuntukkan denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai, atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah juga mengenakan hukuman penjara 10 bulan terhadap Bahar, manakala dua lelaki lagi dipenjara lapan bulan, sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Job Jau, Janet Linggu dan Zuraynee Ahmad Zaidi, manakala peguam PJ Perira mewakili Bahar dan dua tertuduh lagi tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement