
TAWAU: Dua penumpang sebuah bot laju ditahan kerana disyaki cuba menyeludup masuk ke negara ini secara curi-curi melalui kawasan laut Tg Saima, Bandar Tawau, di sini kira-kira jam 2.30 petang pada Isnin.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kedua-dua pendatang tanpa izin (PTI) itu berumur 32 dan 34 tahun serta tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kedua-dua PTI diberkas oleh pasukan Botronda RH59 dalam Op Gelora," katanya, berhubung kejayaan kedua yang direkodkan oleh PPM Tawau, selepas membongkar aktiviti bot pukat tunda pada hari yang sama.
Pajeri berkata pemeriksaan mendapati bot laju yang dinaiki kedua-dua PTI terbabit dijuragani oleh seorang lelaki berusia 33 tahun yang memiliki dokumen pengenalan diri jenis pasport negara jiran.

Mengulas lanjut, beliau berkata penahanan kedua-dua PTI itu dibuat selepas sebuah bot laju yang berdaftar di Tawau dikesan bergerak dari arah Sg Melayu, Pulau Sebatik, menuju ke Pelabuhan Tawau.
"Kedua-dua PTI itu ditahan dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.