Anda di sini

Penduduk Kampung Tinusa 2 tuntut pembinaan laluan alternatif

Advertisement
 Yunizam menerima petisyen daripada Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Tinusa 2.
TUNTUT: Yunizam menerima petisyen daripada Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Tinusa 2.

SANDAKAN: Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Tinusa 2 telah menyerahkan petisyen bagi menuntut pembinaan laluan alternatif dari kampung itu ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Harmoni, Batu 3.

Petisyen yang ditandatangani kira-kira 2,500 penduduk dari Kampung Tinusa 2, Kampung Tinusa 1, PPR Taman Harmoni dan Taman Aman Jaya itu telah diserahkan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sabah pada satu majlis ringkas di Masjid Kampung Tinusa 2, di sini pada Ahad.

Ketua Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Tinusa 2 Jeffri Ambo dalam satu kenyataan berkata kampung itu telah berdepan masalah kesesakan ekoran pertambahan jumlah penduduk sejak 15 tahun lepas.

Katanya, kesesakan bertambah teruk apabila musim perayaan dan berikutan tiada laluan alternatif untuk keluar masuk dari kampung itu, penduduk sentiasa mengalami mimpi ngeri apabila berlaku hal-hal kecemasan.

“Apabila berlakunya kecemasan seperti kebakaran atau bencana alam, tempoh masa bagi pihak keselamatan sama ada bomba atau polis untuk sampai ke kampung yang sepatutnya cuma mengambil masa 30 minit boleh mencecah dua jam disebabkan kesesakan lalu lintas.

“Kewujudan kampung dan taman perumahan di sekitar yang turut menggunakan laluan keluar masuk yang sama juga merumitkan keadaan, lebih-lebih lagi apabila berlaku kes kecemasan.

“Apatah lagi kedudukan Kampung Tinusa 2 yang terletak di pesisiran pantai. Pasti akan lebih sukar sekiranya berlaku bencana alam seperti ombak besar apabila tiada sebarang laluan alternatif,” katanya.

Sehubungan itu, penduduk kampung menerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Tinusa 2 memohon agar laluan alternatif iaitu sebuah jambatan yang menghubungkan kampung itu ke PPR Taman Harmoni, Batu 3 dapat dibina dengan segera.

Jarak antara Kampung Tinusa 2 dengan PPR Taman Harmoni, Batu 3 ialah 1.5 kilometer.

Jeffri berkata, dengan adanya pembinaan jambatan itu, ia pasti dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang menghantui penduduk selama ini.

Pada masa sama katanya, ia juga dapat memendekkan masa perjalanan penduduk ke bandar Sandakan, sekali gus meningkatkan pembangunan serta taraf hidup penduduk di kampung itu.

Sementara itu, Naib Pengerusi AMANAH Sabah Yunizam Yusop berkata, pihaknya akan memastikan masalah dan petisyen itu akan sampai kepada kementerian yang bertanggungjawab.

Beliau berharap isu berkenaan akan diambil peduli kerana ia melibatkan aspek kesejahteraan rakyat.

Untuk rekod, Kampung Tinusa 2 yang wujud sejak 30 tahun lepas mempunyai lebih 10,000 penduduk dengan lebih 1,000 lot tanah rumah.

Advertisement